Ali Tinju tuntut hak berhimpun di Dataran Merdeka
Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia (Gerakan Merah) berharap polis tidak menghalang mereka mengadakan protes serentak dengan himpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos ini.
Presidennya Mohd Ali Baharom atau dikenali sebagai Ali Tinju berkata perhimpunan yang akan diadakan mereka adalah sebagai protes terhadap himpunan #TangkapMO1.
Katanya Polis Diraja Malaysia diminta tidak menghalang mereka melakukan protes tersebut kerana beranggapan pihak yang wajar dikenakan tindakan ialah penganjur #TangkapMO1.
"Polis tak berhak untuk tak membenarkan saya (membuat demonstrasi). Saya bukan nak lakukan himpunan. Kami cuma nak protes perhimpunan yang akan diadakan pada hari tersebut.
"Dan sasaran kami Dataran Merdeka," katanya kepada pemberita di ibu negara hari ini.
Bagaimanapun Ali tidak memberitahu berapa ramai anggota pertubuhan bukan kerajaan itu yang akan dibawanya pada Sabtu depan.
Himpunan #TangkapMO1 akan diadakan di Kuala Lumpur bagi mendesak tindakan diambil pada “Malaysian Official 1” (MO1), iaitu individu yang disebut dalam dokumen mahkamah dikeluarkan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dalam saman sivil mereka sebelum ini.
Selain beberapa nama disebut dengan jelas, identiti MO1 itu masih menjadi tanda tanya walaupun sebahagian besar orang mendakwa ia adalah Datuk Seri Najib Razak.
Himpunan #TangkapMO1 itu dijadual akan turut diadakan di Johor dan Sabah.
Ia dianjurkan oleh kumpulan belia yang memperkenalkan diri mereka sebagai Gabungan #TangkapMO1.
Semalam, pihak polis didakwa memberi kebenaran kepada penganjur #TangkapMalaysianOfficial1 untuk meneruskan perhimpunan mereka.
Bagaimanapun, mereka diarahkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi berkumpul di Dataran Merdeka.

