Oh nafi mahu ambil alilh jawatan penyelaras Sg Pinang
Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong menafikan beliau mahu mengambil alih jawatan Penyelaras Bahagian Sungai Pinang dan tidak berniat menjejaskan reputasi timbalan setiausaha agung parti itu Dr Thor Teong Gee.
Oh berkata beliau tidak campur tangan dalam pemilihan jawatan penyelaras Sungai Pinang namun dimaklumkan bahawa Thor gagal mendapat 'restu' bahagian itu.
"Saya hanya menyatakan apa yang benar dan tidak ada niat menjejaskan reputasi atau mahukan jawatan Penyelaras Bahagian Sungai Pinang," katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.
Thor, yang telah bersama Barisan Nasional (BN) lebih daripada 16 tahun, meletakkan semua jawatan dalam parti hari ini selepas mendakwa reputasinya terjejas berikutan pergeseran dalaman untuk jawatan penyelaras itu serta kemungkinan menjadi calon pilihan raya umum akan datang.
Oh menjelaskan pada sesi dialog yang dipengerusikan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong pada 14 Julai lepas, anggota-anggota bahagian Sungai Pinang menolak Thor daripada dinamakan sebagai penyelaras.
"Bahagian itu ada menyatakan beberapa alasan untuk menolak Thor dan sebaliknya menamakan Pengerusi Bahagian Sungai Pinang Ng Fook On bagi jawatan itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata isu itu tidak diselesaikan apabila Mah yang bimbangkan pergeseran dalam kalangan anggota parti, memutuskan untuk menggugurkan Thor dan Ng.
"Mah mahu saya mengambil alih jawatan itu selepas isu berkenaan tetapi saya menarik diri selepas berbincang dengan anggota daripada bahagian itu yang tetap mahukan Ng," katanya sambil berharap kepimpinan pusat mendengar semua
calon bahagian sebelum membuat sebarang keputusan mengenai jawatan itu.
- Bernama

