Ditampar, ditendang dan dicucuh dengan api - itulah penderaan yang dakwa dua beradik dilakukan oleh polis yang mahu mereka menandatangani kenyataan saksi.

Peguam mereka, T Shasi Devan mendedahkan perkara itu kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Kuala Lumpur, hari ini.

Adik-beradik berkenaan, Letchumanan Naidu, 19 dan Vikram Naidu, 17 ditahan berhubung pergaduhan pada 14 April yang lalu dan ditahan di ibu pejabat polis daerah Ipoh.

Kedua-dua mereka sedang ditahan di penjara Kluang, Johor di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Kata Sashi, ketika beliau melawat adik-beradik berkenaan pada 10 Ogos lalu, mereka berkongsi pengalaman pahit semasa dalam tahanan polis.

"Mereka maklumkan kepada saya bahawa pada 14 dan 15 April lalu, (anggota polis) menggunakan pita saluran untuk menutup mata mereka. Mereka kemudian dibawa keluar dari sel induk dan polis menggunakan pemetik api untuk mencucuh mereka.

"Kedua-dua mereka tidak mengaku, jadi mereka kena tampar dan tendang. Rambut pula ditarik.

"Saya bertanya jika ada mendapat apa-apa rawatan perubatan tetapi kerana takut, mereka tidak minta rawatan oleh doktor," tambahnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dakwaan itu akan disiasat.

"Kami akan memeriksa perkara itu dan tindakan akan diambil jika ada sebarang salah laku (di pihak anggota polis), " kata Khalid kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]