Masalah politikus pencen di mata Musa
Masa agak panjang diperlukan untuk seseorang menyesuaikan diri selepas pencen. Tidak mudah melupakan rutin yang pernah anda lakukan lebih 30 tahun, misalnya.
Bagi ahli politik, nampaknya ia lebih sukar - seperti dikongsi bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam dalam bukunya, Frankly Speaking.
"Sesetengah ahli politik yang gagal mengadu terpaksa menjawab sendiri panggilan telefon, atau membuka pintu pagar rumah ketika didatangi pelawat.
"Cerita-cerita begini atau yang seumpamanya benar-benar lucu," tulisnya.
Musa sendiri melalui pengalaman sedemikian.
Salah satu kelebihan yang 'dirindui' beliau sebagai orang nombor dua dalam parti - dan kerajaan - ialah tidak banyak yang perlu dilakukan jika perlu pergi ke mana-mana untuk urusan rasmi.
"Pintu dibukakan orang untuk saya, kereta dan pemandu sudah sedia menunggu. Akan ada seseorang untuk membawa fail atau bagasi," tulisnya lagi.
Bagaimanapun selepas meninggalkan kedudukannya Musa berkata dia perlu "bersederhana" dalam hidup dan perubahan itu berlaku dengan ketara.
Hubungi isteri tanya cara
Bukan itu saja. Apabila berdepan dengan kesulitan tiada sesiapa yang membantu, malah bekas rakan akan menjauhkan diri.
Satu daripada aspek yang perlu dipelajarinya semula ialah memandu kenderaan sendiri - praktik yang digambarkan beliau sebagai sesuatu yang menarik.
"Satu-satunya cabaran sebenar ialah mengisi minyak di stesen minyak. Saya terpaksa menghubungi isteri saya untuk bertanya apa yang perlu dilakukan," kata Musa.
Satu lagi 'cabaran' dihadapi ialah berurusan di lapangan terbang, serta belajar mencari troli serta mendaftar masuk di kaunter penerbangan.
"(Tetapi) kini saya menolak sebarang bantuan sebegitu. Saya dapati menolak sendiri troli - sama ada di lapangan terbang atau pasar rasa - adalah satu bentuk riadah, dan ia menjadikan saya cergas dan sihat
"Ia juga satu peringatan bahawa saya adalah orang biasa," katanya dalam buku itu.
Selepas bersara Musa kini menghabiskan lebih banyak masa bermain golf bersama beberapa orang rakannya.
Beliau menjadi timbalan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selama lima tahun - antara 1981 hingga 1986.

