MB Johor 'rindui' Muhyiddin di Pagoh
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melahirkan rasa janggal apabila tiada kelibat Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkunjung ke Pagoh hari ini.
Malah, pengerusi badan perhubungan Umno Johor itu juga turut mengimbas kembali kenangannya bersama Muhyiddin apabila beliau seringkali menghadiri majlis sambutan Aidilfitri di Kompleks Seri Pekembar di Pagoh.
"Betapa sejujurnya saya begitu janggal sekali berkunjung ke Pagoh tanpa kehadiran dan melihat kelibat Tan Sri Muhyiddin.
"Saya masih ingat setiap kali hari raya, hari raya kedua, saya mesti ke bangunan ini untuk bersama berhari raya bersama Tan Sri Muhyiddin dan ahli Umno Pagoh.
"Kita tahu Pagoh ini sinonim dengan beliau dan saya secara peribadi menganggap Tan Sri (Muhyiddin) sebagai rakan seperjuangan dan bekas ahli parti yang sangat berjasa pada Umno, Pagoh, Johor, agama dan bangsa," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Umno bahagian Pagoh, Johor hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri kira-kira 300 anggota parti dari seluruh cawangan di bahagian Pagoh.
Pilih haluan sendiri
Muhyiddin pernah menjadi menteri besar Johor sebelum dibawa ke Pusat dan dilantik menjadi menteri di beberapa kementerian.
Perjalanan politik anak kelahiran Muar itu kemudian meningkat sehingga menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun akibat perselisihan pendapat dengan puncuk pimpinan tertinggi parti dan penyokongnya berhubung isu 1MDB, Muhyiddin disingkirkan dari kabinet sebelum dipecat dari Umno.
Beliau kini menjadi presiden penaja sebuah pertubuhan baru - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - yang sedang menunggu kelulusan pendaftar pertubuhan untuk bergerak secara rasmi.
Ketika ditanya selepas majlis perasmian itu sama ada Khaled merindui Muhyiddin, menteri besar Johor itu hanya tersenyum.
Khaled berkata walaupun kini Muhyiddin memilih haluannya sendiri, namun Umno Johor tidak akan memutuskan hubungan dengan pemimpin tersebut.
"Dalam hal ini Umno Johor berpendirian bahawa apa pun yang telah terjadi antara Tan Sri Muhyiddin dan Umno, kita tidak akan sesekali melupakan jasa beliau selama ini.
"Dan paling penting kita tidak akan sesekali membakar jambatan persaudaraan dan tali persahabatan antara kita hanya kerana kesilapan politik, kerana perbezaan pandangan dan juga pendirian," katanya.
Khaled yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas itu juga menasihati anggota Umno Pagoh agar tidak meninggalkan parti hanya kerana kesalahan yang dilakukan oleh individu tertentu di dalam parti.
Tanpa menamakan mana-mana pihak Khalid berkata, Umno tidak wajar dipersalahkan ekoran kesalahan individu berkenaan.
"Parti tak salah tapi hanya orang tertentu yang jadi punca masalah dan segelintir orang tertentu menjadi punca. (Punca) itu tak seharusnya mewakili Umno secara keseluruhan.
"Tak seharusnya jadi sebab kita pula tinggalkan Umno. Sebab itu apabila saya hadir hari ini saya mengerti perasaan tuan puan.
"Ada masih sedih, marah dan mula bergerak ke hadapan dan segera tinggal kemelut ini di belakang," katanya.

