Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN Umno ramal AMANAH bubar menjelang PRU 14
Diterbitkan:  Aug 24, 2016 12:26 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Halimaton Saadiah Borhan meramalkan Parti Amanah Negara (AMANAH) bakal dibubarkan menjelang pilihan raya umum ke-14.

Ramalan beliau itu bersandarkan kesukaran AMANAH dalam mendapatkan kerusi-kerusi untuk ditandinginya pada pilihan raya itu jika parti-parti pembangkang termasuk PAS mengekalkan 'status-quo' bagi kerusi-kerusi miliknya.

"AMANAH dilihat bergelut untuk mencari tapak bagi meletakkan calon mereka untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang seandainya ‘status quo’ rakan-rakan di dalam pakatan harapan termasuk kawasan yang ditandingi Pas terus kekal.

"Mengambil contoh di Selangor, kedudukan parti tersebut walaupun pada ketika dan waktu ini mendapat sedikit perhatian daripada Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali, ianya bukanlah jaminan yang konkrit bahawa mereka akan mendapat laluan mudah untuk bertanding di negeri berkenaan," kata Halimaton, memetik laporan Umno Online.

Baru-baru ini, AMANAH mengalu-alukan pembentukan parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sambil mengharapkan kemunculan sulungnya dalam arena politik negara.

AMANAH berkata, walaupun BERSATU adalah parti berasas kaum, ia tidak semestinya bermaksud parti itu bersifat perkauman.

Terdahulu, BERSATU mengesahkan akan memulakan rundingan pembahagian kerusi bersama pembangkang lain sebaik saja pendaftaran parti itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

Kerusi PAS dan PKR antara kawasan yang diintai oleh BERSATU, akui Presiden penajanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Halimaton Saadiah menambah, AMANAH juga mengharapkan sumbangan PAS untuk menyerahkan kerusi yang ditandingi parti itu sebelum ini, namun keadaan itu adalah sesuatu yang amat sukar.

“Rasanya cukup sukar untuk AMANAH meletakkan calon mereka untuk bertanding. Nak ambil kawasan mana sehingga kini masih lagi belum mencapai kata sepakat dan tidak mustahil akan terus buntu.

“Itu masih lagi belum diambil kira kehadiran parti baru pimpinan Muhyiddin yang hari ini dilihat akan mengadakan kerjasama bersama parti pembangkang," ujar beliau lagi.

Jika ramalan beliau menjadi kenyataan, katanya, ia bukanlah perkara yang pelik atau perkara yang mengejutkan kerana kelahiran parti itu sendiri yang hanya untuk menjadi alat sesama mereka.

“Tidak menghairankan pun kerana pada saya itu adalah penyelesaian bagi mereka. Berada di dalam satu pakatan bukanlah satu jaminan untuk mencapai kata sepakat dan mencari titik noktah.

“Yang jelasnya tidur sebantal mimpi lain-lain menjadi nyata dan terus menjadi igauan buat mereka. Maklumlah hala tuju yang tidak sama,” jelasnya lagi.

Lihat Komen
ADS