Mahkamah Majistret di Pulau Pinang menolak permohonan pihak polis untuk melanjutkan reman ke atas penyanyi rap, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee.
Walaupun begitu, pihak polis yang memperolehi tahanan reman selama empat hari bermula 22 Ogos yang lalu tidak pula melepaskan Namewee ekoran keputusan mahkamah tersebut.
Sebaliknya, Namewee dibawa balik ke Balai Polis Jalan Patani, menurut peguam T Tharuma.
"Saya tidak tahu mengapa pihak polis masih belum melepaskannya. Saya akan pergi ke balai polis untuk mengetahui," jelasnya.
Polis perlu mendakwanya di mahkamah sebelum jam 5 petang hari ini jika mereka tidak mahu melepaskan Namewee, ujar beliau.
Wee sedang disiasat kerana penyiaran video bertajuk 'Oh My God ' yang menampilkannya bersama tiga individu yang lain dan didakwa menghina Islam.
Penyanyi berusia 33 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Penyanyi itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 3.30 petang apabila dia pulang dari Taipei, Taiwan.
Klip video itu memaparkan rakaman empat lelaki yang menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin berdurasi 4.05 minit itu menjadi viral dan menimbulkan kemarahan orang ramai kerana didakwa menghina Islam.
Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan klip video berkenaan dan polis mula mencarinya.