Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang ramai diingat waspada penculik guna van putih
Diterbitkan:  Aug 26, 2016 6:52 AM
Dikemaskini: 10:58 PM

Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati jika ternampak van putih di lokasi mencurigakan susulan kes cubaan culik kanak-kanak berumur 10 tahun di Kampung Datuk Keramat, di ibunegara Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata ini berikutan terdapat kes cubaan menculik melibatkan empat lelaki dengan dua daripadanya memakai pakaian wanita menggunakan van putih.

"Setakat ini ada satu kes cubaan culik dilaporkan melibatkan suspek menggunakan van putih, melibatkan cubaan culik seorang murid perempuan Sekolah Rendah Agama Al Akram, Kampung Datuk Keramat, dalam perjalanan ke sekolah," katanya kepada Bernama.

Dalam kejadian 1.50 tengah hari Selasa lepas, kanak-kanak itu dihampiri sebuah van putih, di dalamnya ada sekumpulan empat individu, dua daripadanya lelaki yang menyamar dengan memakai pakaian wanita, keluar dari kenderaan itu dan cuba menarik mangsa masuk ke dalam van berkenaan.

"Seorang daripada lelaki berpakaian wanita itu mengacukan sebilah pisau ke arah kanak-kanak tersebut namun mangsa dilepaskan setelah meronta dan menyepak serta menumbuk muka kedua-dua lelaki itu yang kemudiannya lari dengan van
berkenaan," katanya.

Kanak-kanak itu kemudian berlari masuk ke kawasan sekolah dan menceritakan kejadian itu kepada guru.

Beliau berkata laporan polis mengenai kejadian dibuat oleh seorang guru wanita sekolah berkenaan.

"Nombor pendaftaran van itu tidak pasti kerana tiada kamera litar tertutup di tempat kejadian dan tak tahu pergi ke arah mana," katanya.

Mohamad Roy Suhaimi berkata guru itu turut membuat laporan polis terdapat satu lagi cubaan culik melibatkan kanak-kanak sekolah sama pada 5 Ogos lalu, apabila dua lelaki menggunakan sebuah motosikal cuba menarik tangan salah seorang daripada dua beradik perempuan berumur tujuh dan 10 tahun yang sedang berjalan ke sekolah berkenaan kira-kira 1.50 tengah hari.

"Pembonceng motosikal menarik tangan kanak-kanak berumur tujuh tahun tetapi kanak-kanak berkenaan meronta dan menjerit menyebabkan lelaki berkenaan melepaskan tangannya dan melarikan diri dengan motosikal jenis Yamaha 125.

"Kedua-dua murid perempuan itu kemudian berlari masuk dalam masjid Al Akram yang berdekatan dengan sekolah itu," katanya.

Beliau berkata setakat ini belum ada sebarang tangkapan untuk kedua-dua kes yang kini disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan dan cubaan melakukan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mohamad Roy Suhaimi berkata pihaknya telah meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata polis masih belum menerima sebarang laporan dari anggota keluarga gadis yang dipercayai diculik dua lelaki menggunakan kereta Perodua berwarna putih di persimpangan Jalan AU 5C/7, Taman Lembah Keramat, Selasa lepas.

"Setakat ini kita belum terima laporan dari mana-mana pihak mengenai kehilangan anggota keluarga mereka," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS