Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Hasil DTN sangkal tohmahan Malaysia negara gagal

Dasar Transformasi Nasional (DTN) yang masuk tahun ketujuh pelaksanaannya terus membuahkan hasil memberangsangkan sekali gus menyangkal tohmahan segelintir golongan bahawa Malaysia adalah negara yang gagal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata dengan mengambil contoh pembentangan laporan Program Transformasi Negara pada April lalu, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam aspek Bidang Keberhasilan Utama Negara telah mencapai 99 peratus indeks prestasi utama (KPI) penyampaiannya.

"Bagi Program Transformasi Ekonomi (ETP), menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara, kita telah berjaya mencapai angka 111 peratus KPI manakala melalui inisiatif Pembaharuan Strategik pula, KPI telah menjangkau sasaran 108 peratus," katanya dalam ucapan Amanat Merdeka 2016, sempena Hari Kemerdekaan Negara yang Ke-59, di Kuala Lumpur, malam ini.

Najib berkata usaha keras kerajaan dan pelbagai agensinya telah mendapat pengiktirafan organisasi antarabangsa antaranya Forum Ekonomi Dunia yang telah meletakkan Malaysia di tangga ke-18 dalam Laporan Daya Saing Global.

Selain itu, katanya, menurut Ranking Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia 2015-2016, Malaysia berada di tangga kesembilan, satu-satunya pasaran sedang pesat membangun yang tersenarai dalam 10 negara teratas.

"Malaysia juga diiktiraf oleh laporan Bank Dunia, dari segi Mudah Menjalankan Perniagaan, pada kedudukan ke-21 pada 2010, dan telah naik ke tangga ke-18 pada 2015," katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia turut menjadi sebuah negara Islam contoh yang progresif dan dinamik serta diteladani sebagai contoh ikutan yang berpegang kepada prinsip wasatiyyah dan telah menduduki tangga pertama Petunjuk Ekonomi Global Islam 2014-2015 daripada senarai 70 buah negara.

Selain itu, katanya, Malaysia adalah negara penerbit sukuk terbesar dunia, merangkumi hampir 55 peratus daripada jumlah sukuk terkumpul global yang bernilai melebihi AS$320 bilion setakat penghujung 2015.

"Meskipun negara menghadapi ketidaktentuan dan kesuraman ekonomi global, keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku kedua berjaya mencatat perkembangan sebanyak empat peratus," kata Najib.

- Bernama

Lihat Komen
ADS