'Masih guna akta penjajah walaupun 59 tahun merdeka'
Hukuman penjara ke atas individu yang didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 menunjukkan undang-undang itu masih 'berbisa dan merbahaya', kata kumpulan pendesak Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH).
Malah, penyelaras GHAH Amir Abd Hadi berkata keputusan menggunakan akta 'lapuk peninggalan penjajah' itu dibuat sehari sebelum sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-59.
Beliau merujuk hukuman penjara lapan bulan terhadap Naib Presiden AMANAH, Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdul Rahman yang didenda RM2,000 kerana menghasut.
"Hukuman 8 bulan penjara ke atas Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar serta denda RM2,000 ke atas Presiden ISMA membuktikan bahawa taring Akta Hasutan masih berbisa dan merbahaya.
"Malah ia dibuat sehari sebelum sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke 59, sedang kita semua tahu Akta Hasutan adalah akta tinggalan penjajah," katanya.
Khamis lalu, Fakhrulrazi didapati bersalah memberi ucapan berbaur hasutan semasa perhimpunan Kita Lawan pada 21 Februari di hadapan Kompleks Beli Belah Sogo.
Abdullah Zaik didenda semalam kerana kenyataan yang disifatkan sebagai menghasut yang disiarkan di laman web rasmi NGO itu pada 2014.
Kedua-dua kes dibicarakan di bawah Akta Hasutan walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk menghapuskan undang-undang itu pada tahun 2012, bersama-sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

