Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Sambutan Hari Kebangsaan 2016 yang bertemakan 'Sehati Sejiwa' turut disambut meriah di seluruh negara dengan pelbagai acara penuh semangat patriotik, dihadiri kepimpinan negeri dan rakyat.

Selain sambutan gilang-gemilang di Dataran Merdeka, negeri-negeri turut
merangka pelbagai program bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan kali ini, yang menarik perhatian bukan sahaja rakyat tempatan tetapi juga warga asing.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak
Tuanku Zara Salim berkenan menyertai orang ramai menyambut Hari Kebangsaan peringkat negeri di hadapan Dewan Bandaran, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh.

Sebanyak 116 kontinjen melibatkan 6,960 peserta daripada jabatan dan
agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan dan perbarisan tersebut.

Di KUALA TERENGGANU, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan berangkat menyaksikan acara sambutan yang berlangsung di Dataran Batu Burok.

Keberangkatan baginda bersama kekandanya Tengku Nadhirah Zahrah disambut Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman serta barisan exco kerajaan negeri. Perarakan yang disertai 5,236 peserta daripada 159 kontinjen pelbagai agensi dan pelajar sekolah bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Dataran Batu Burok, sejauh tiga kilometer.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kemeriahan sambutan kali ini dan dianggarkan lebih 10,000 orang hadir secara berperingkat bermula pukul 7 pagi.

Di JOHOR, ribuan rakyat tempatan dan warga asing membanjiri bandar Tangkak seawal 6 pagi untuk menyaksikan perarakan daripada 111 kontinjen melibatkan 3,663 peserta.

Sambutan dimulakan sejurus ketibaan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yanG memulakan acara dengan pelepasan 59 ekor burung pipit sebagai simbolik 59 tahun Malaysia bebas dari penjajah, disusuli perarakan kontinjen yang membawa 'Jalur Gemilang', diikuti beberapa kontijen lain termasuk Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM).

Di SABAH, acara perbarisan dan perarakan diadakan secara sederhana dihadiri kira-kira 15,000 orang termasuk peserta kontinjen yang mula membanjiri Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu, seawal 6 pagi tadi.

Sebanyak 175 kontinjen membabitkan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, persatuan etnik Sabah termasuk 25 kenderaan menyertai perbarisan serta perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2016 peringkat negeri.

Sambutan itu yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman serta barisan Kabinet negeri, antara lain dimeriahkan dengan persembahan khas daripada Lembaga Kebudayaan Sabah yang menggabungkan elemen tarian dan puisi bertemakan Perjuangan.

Di MELAKA, seramai 9,881 peserta daripada 227 kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, persatuan dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Bandar Hilir.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, isterinya Toh Puan Zurina Kassim, dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menyertai kira-kira 3,000 termasuk pelancong asing menyaksikan perarakan itu.

Di NEGERI SEMBILAN, perarakan disambut meriah dengan kehadiran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud di Bangunan Majlis Perbandaran Seremban.

Turut hadir menyaksikan perarakan melibatkan 12,901 peserta itu ialah Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan, Speaker Datuk Dr Awaludin Said, anggota exco dan ketua-ketua jabatan.

Di SARAWAK, sambutan berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman yang menyaksikan 79 kontinjen dari jabatan-jabatan kerajaan serta NGO mengambil bahagian dalam acara perarakan, melakukan lintas langsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan tiga Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang terdiri daripada Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg, Tan Sri James Jemut Masing dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Di KELANTAN, Hari Kebangsaan 2016 disambut secara sederhana membabitkan 1,749 peserta mewakili 59 kontinjen jabatan kerajaan persekutuan dan negeri serta 500 hadirin di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh, Kota Bharu.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob itu bermula pada 8.30 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian. Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan perbarisan 59 Jalur Gemilang dan 59 bendera negeri Kelantan sebagai simbolik 59 tahun sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini, oleh agensi keselamatan, jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri.

Di PERLIS, sambutan dihadiri Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra
Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid diiringi Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan isteri Datin Seri Nor
Aswana Omar. Sambutan diadakan di perkarangan Dataran Merdeka, Kangar melibatkan perarakan daripada 89 kontinjen mewakili jabatan dan agensi kerajaan, swasta serta NGO dan dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Di PULAU PINANG, kira-kira 6,000 peserta mewakili 91 kontinjen daripada agensi kerajaan dan swasta menyertai perarakan di Padang Kota Lama dimulakan dengan perbarisan Jalur Gemilang utama Kontinjen Tentera Rejimen 509 Askar Wataniah dan Brass Band Tentera 3 Armor Diraja. Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff turut menghadiri sambutan itu bersama lebih 7,000 pengunjung berbilang bangsa.

Turut hadir, Ketua Menteri Lim Guan Eng, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Law Choo Kiang, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus, barisan EXCO kerajaan negeri pimpinan DAP serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang.

Di PAHANG, sambutan dimulakan dengan keberangkatan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob serta kepimpinan negeri ke padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4 di Kuantan.

Seramai 7,600 peserta daripada 86 kontinjen menyertai acara perarakan itu dengan ATM menampilkan tiga kenderaan berperisai AV 8×8 'Gempita' yang membuat lintas hormat di hadapan Tengku Abdullah selain empat pesawat Sukhoi SU-30MKM dan Bombardier yang melakukan pertunjukan udara.

Antara pertunjukan menarik lain adalah demonstrasi tempur tanpa senjata oleh pasukan ATM serta aksi demonstrasi kebombaan daripada Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS