Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP harus bertindak sejajar slogan 'Cekap, Akauntabiliti, Telus' yang dilaung-laungkan selama ini dengan meminta wakil rakyatnya meletak jawatan, desak pemimpin MCA, Ti Lian Ker.

Desakan tersebut dibuat ekoran dakwaan rasuah yang mengaitkan bapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang daripada DAP, Lim Siew Khim dalam kes seorang pembeli mendapatkan sebuah rumah kos rendah.

Satu klip video tersebar dalam media sosial yang merakamkan bapa Siew Khim bersama dua lagi lelaki membincangkan perkara mengenai rumah kos rendah.

Dalam kenyataan, Ti berkata, desakan itu turut ditujukan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa dan mendapatkan harta tanpa bayaran sewajarnya.

"DAP perlu konsisten dan menuntut ketua menteri, wakil rakyat dan lain-lain untuk meletakkan jawatan sementara menunggu penyelesaian kes mahkamah atau mengambil cuti menunggu siasatan bagi menunjukkan mereka mengota apa yang dijanjikan sebelum ini.

"Apa yang kita lihat hari ini ialah DAP hanya vokal terhadap parti lawan tetapi lembik dan bertolak ansur terhadap amalan atau budaya rasuah di tempat sendiri.

"DAP perlu menunjukkan komitmen dan tiada toleransi mengenai rasuah dengan mengambil tindakan 'tegas' dari dalam sebagai teladan kepada orang lain dan bukan 'tiada tindakan, cakap sahaja'," ujar Ti lagi.

Sebelum itu, Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong mendedahkan klip video yang merakamkan perbincangan berhubung bayaran wang bagi mendapatkan sebuah rumah kerajaan negeri.

Oh berkata, kandungan perbualan dalam video itu menyebut ia direkodkan tahun lepas dan bapa Siew Khim dilihat bersama seorang orang tengah melayan satu aduan daripada seorang lelaki yang dipercayai telah membuat bayaran namun tidak mendapat rumah itu.

[Baca berita asal]