Kami mahu jawapan, tuntut pembangkang Melaka
Pembangkang negeri Melaka secara rasmi hari ini menyerahkan surat bantahan kepada Dewan Undangan Negeri Melaka selepas speaker tidak lagi membekalkan jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan lisan kepada ADUN parti pembangkang.
Ketua Pembangkang, Khoo Poay Tiong berkata beliau memberi speaker Datuk Wira Othman Muhamad tujuh hari untuk menyelesaikan perkara itu atau beliau akan mengambil tindakan yang lebih drastik, walaupun tidak mendedahkan butiran mengenai tindakan itu.
Khoo yang juga adalah ADUN Ayer Itam berkata tindakan berkenaan bukan sahaja membelakangkan demokrasi berparlimen tetapi juga mencaci demokrasi.
“Jelas hak pengetahuan rakyat telah dinafikan. Tindakan ini adalah tidak adil dan tidak munasabah.
“Ahli-ahli DUN parti pembangkang juga mewakili rakyat untuk bertanya kepada pihak kerajaan negeri berkenaan dasar dan cara penyelesaian pelbagai masalah. Pihak kerajaan negeri seharusnya memberi penjelasan dan akauntabiliti terhadap semua pertanyaan,” katanya dalam satu sidang akhbar.
Beliau juga mengingatkan Speaker bahawa bahawa DUN adalah kuasa perundangan yang seharusnya tidak bertindih dengan kuasa pentadbiran atau kuasa penghakiman dalam sistem demokrasi berparlimen.
Khoo berkata, pada persidangan sebelumnya, Dewan akan menyediakan jawapan bagi pertanyaan lisan yang tidak sempat dijawap oleh kerajaan negeri, tetapi gagal membekalkan jawapan pertanyaan lisan pada persidangan bulan Jun tahun ini.
Katanya, beliau percaya speaker tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berkecuali kerana terdapat "MO1" Melaka, iaitu "Melaka Officer 1" yang campur tangan.
“Sebagai satu badan yang bermaruah dan neutral, DUN seharusnya tidak boleh dimanupulasi oleh MO1,” katanya.
Khoo berkata, gangguan itu, jika benar bermakna bahawa DUN telah bertukar menjadi ‘rubber stamp’ sehingga mengakibatkan hak asasi manusia dan kebebasan sentiasa dicabuli.
Hadir bersama sidang media hari ini ialah ADUN Bandar Hilir Tey Kok Kiew, dan Ketua Pengarah DUN Kawasan Kota Laksamana, Low Chee Leong.

