Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN ada potensi kalah 45 kerusi, kata Muhyiddin

Pembangkang boleh menang 45 kerusi BN dengan hanya sokongan kecil pengundi, kata bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dalam kajian saya, 67 kerusi terumbang-ambing di bawah Umno BN.

"Dalam simulasi dibuat oleh pakar-pakar yang saya lantik, kalau ada empat peratus swing, 45 kerusi akan jatuh.

"Sebahagian besar tu kerusi yang dipegang Umno," kata Muhyiddin pada siri jelajah anti-1MDB anjuran PKR di Sabak Bernam, Selangor malam tadi.

Presiden pro-tem kumpulan serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata demikian sambil menekankan pentingnya menyatukan pembangkang dan memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN dalam pilihan raya akan datang.

Sementara itu, mengenai perkembangan lain, Muhyiddin mengulangi bahawa bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri menunjukkan kepadanya bukti RM4 bilion dalam akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Muhyiddin sebelum ini mendakwa Gani memaklumkan kepadanya bahawa hampir RM1 bilion berada dalam akaun peribadi Najib sebelum menerima RM2.6 bilion derma yang dikatakan datang dari ahli keluarga diraja Saudi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kemudian mencabar Muhyiddin membuktikan dakwaannya.

Muhyiddin menghadiri acara malam tadi bersama-sama dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali.

Ia adalah persinggahan pertama dalam siri 'Jelajah Negara Bongkar Kontroversi 1MDB', yang cuba untuk menjelaskan skandal 1MDB kepada penduduk luar bandar dan separa bandar terutamanya orang Melayu.

Jelajah seterusnya akan ke Melaka pada 25 September.

 

Lihat Komen
ADS