Seorang lelaki berketurunan Dusun berusia 61 tahun dipercayai menghidap kes jangkitan virus Zika- menjadikan ia kes tempatan pertama di negara ini.

Lelaki yang menetap di Taman Public Jaya Likas, Sabah itu mula mengalami demam pada 27 Ogos lalu dan mendapatkan rawatan kali pertama di Klinik Kesihatan Luyang pada 30 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata lelaki itu yang mengalami demam teruk, sakit otot dan cirit birit  kemudian mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2.

Dia kemudian dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu kerana keadaan yang agak serius.

Ini kerana katanya, lelaki itu turut mempunyai masalah tekanan darah tinggi, jantung, buah pinggang, batu karang serta gout.

"Oleh kerana pelbagai penyakit beliau, keadaan pesakit agak serius apabila dia dilihat pertama kali di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital.

"Walaupun keputusan ujian dari makmal kesihatan menunjukkan darah dan air kencing sampel pesakit diuji positif  Zika, keadaan klinikalnya yang serius mungkin kerana sakit kronik sedia ada dan tidak (semata-mata) disebabkan oleh jangkitan Zika," kata beliau.