Jamal: Politik wang hanya waktu pemilihan
Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos menafikan pemberian wang sebanyak RM1,000 kepada perwakilan parti itu sebagai politik wang kerana ia diberi bukan sewaktu pilihan raya.
Beliau mengalu-alukan kritikan terhadap keputusannya memberi ganjaran sebanyak RM1,000 kepada seramai 646 perwakilan dari bahagiannya.
"Politik duit ni kalau ada pertandingan saya membeli undi menggunakan duit untuk raih sokongan, supaya pertandingan tersebut saya menang.
"Tahun ini tak ada pertandingan, tahun depan pun tak ada pertandingan, 2018 baru ada pertandingan.
"Tidak ada pemimpin mana pun yang ingin gunakan duit poket sendiri untuk membeli undi tiga tahun," kata Jamal kepada Malaysiakini.
Beliau menambah jika wang itu diagihkan ketika pemilihan parti itu pada tahun 2018, maka beliau mungkin didapati bersalah kerana mengamalkan politik wang.
Beliau mengulas kenyataan veteran Umno Tan Sri Rais Yatim semalam bahawa pemberian wang itu memalukan parti dan membuktikan amalan politik wang.
Jamal berkata beliau tidak melihat kenyataan Rais sebagai 'negatif dan akan menjadikannya pengajaran walaupun mahu bekas menteri itu menghubunginya terlebih dulu untuk mendapatkan penjelasan.
Tak mampu bagi 16,000 orang
Beliau juga mempertahankan langkah itu bagi memberi ganjaran kepada perwakilan yang telah berusaha keras dan berkorban untuk memenangkan BN pada pilihan raya kecil Sungai Besar Julai lalu.
"Kalau saya nak bagi semua ahli Umno 16,000 orang, mungkin tidak ada kemampuan.
"Jadi saya nak bagi kepada perwakilan yang mewakili Umno di peringkat akar umbi," katanya.
Beliau berkata anggota Umno Sungai Besar menjadikan bahagian itu terbaik dalam parti apabila berjaya meningkatkan undi majoriti daripada hanya 300 pada pilihan raya umum lepas kepada 9191 undi.
Jamal mengumumkan pemberian tunai itu semasa mesyuarat Umno Sungai Besar Rabu lalu.
Wang itu katanya diperuntukkan untuk membawa 81 pemimpin cawangan dan anggota jawatan kuasa bahagian menyertai lawatan sambil belajar ke Dubai, yang kemudian dibatalkan.

