Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Hari ini, pada tahun 2009 menjadi titik tolak kepada perubahan secara menyeluruh kepada penulis selepas menerima warkah 'keramat' penamatan perkhidmatan secara paksaan dan serta-merta oleh sebuah syarikat akhbar berbahasa Melayu milik Umno.

Melalui detik-detik 'cemas' dibuang kerja secara serta-merta, penulis ketika itu mengharungi liku-liku tersebut dengan penuh istiqamah dengan dipapah oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu dan NUJ Malaysia yang membantu sedikit sebanyak dalam meringankan beban kewangan.

Walaupun pahit pada dasarnya, 'tragedi' September itu tetap menyajikan elemen-elemen manisnya dengan cucuran dan limpahan sokongan moral dan kerja-kerja yang menjana pendapatan dari rakan-rakan dalam syarikat, kesatuan dan pihak-pihak luar yang bersimpati dan menaruh kepercayaan atas perjuangan penulis ketika itu.

Bagaimanapun, pengalaman mengharungi pekerjaan sebagai wartawan yang pernah diberikan amanah untuk mengendalikan wawancara bersama tokoh-tokoh negara seperti bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetap menjadi kenangan yang berharga.

Banyak juga ilmu pengetahuan dan pengalaman menarik yang dapat dikutip semasa menemubual tokoh-tokoh lain antaranya Gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Merican yang pernah menerajui firma petroleum negara, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Tan Sri Tajudin Ramli di samping menjelajah ke banyak negara demi tugasan.

Hanya tinggal kenangan

Walaupun semua itu kini hanya tinggal kenangan, namun pengalaman selama hampir 10 tahun itu menjadi wartawan akhbar Umno itu sedikit sebanyak telah mematangkan dan mendidik penulis untuk berdepan realiti kehidupan terutama politik tempatan setelah menceburi kerjaya itu sebaik sahaja tamat pengajian.

Namun, kerana berkeras untuk berjuang mempertahankan hak-hak kakitangan bukan eksekutif Utusan dan menaikkan gaji ahli-ahli NUJ semata-mata, akhirnya curahan tenaga dan keringat selama hampir 10 tahun itu terus terpadam dalam rekod pencapaian kakitangan syarikat itu.

Lebih malang lagi, penulis terus menerima pelbagai label dan tanggapan antaranya ejen pembangkang dan 'hantu' DAP oleh macai-macai dalaman syarikat akhbar itu tanpa langsung mengenang sumbangan selama hampir sedekad gara-gara memilih untuk berjuang bersama NUJ.

Melangkah ke depan, setelah 'dikhianati' oleh syarikat akhbar milik Umno itu, penulis bertemu sinar baru dengan menerima tawaran untuk membantu pasukan editorial parti dalam menerbitkan Roket, makalah bulanan keluaran DAP selepas satu pertemuan dengan Lim Kit Siang.

Tidak cukup itu, parti yang sering dituduh cauvinis dan perkauman melampau itu terus menghulurkan peluang kepada penulis berdasarkan bakat dan keperluan dengan menawarkan jawatan pegawai khas di pejabat ketua menteri Pulau Pinang, negeri kelahiran penulis untuk menjaga hal-ehwal kebajikan Melayu.

Sedar atau tidak, mungkin inilah yang dikatakan ramai anak-anak muda Melayu dalam DAP berkenaan tatkala Melayu dikhianati oleh Umno sendiri, DAP muncul sebagai wardah alternatif terbaik dalam memperjuangkan isu-isu rakyat selain membantu dalam meningkatkan kefahaman dan menjana kepimpinan.

Pantau dari luar

Pada masa yang sama, dalam masa tujuh tahun ini, penulis tidak terlepas dari memantau dari luar perkembangan syarikat akhbar milik Umno itu yang pernah menjadi majikan suatu ketika dahulu.

Ternyata kecewa, bukan sahaja setelah terdengar kegagalan majikan untuk membayar gaji tepat pada masa seperti kebiasaan, banyak pihak terutama Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam yang pernah mengepalai Jabatan Pengarang Utusan dan bekas editor kanan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain semakin lantang membidas dan mengkritik syarikat itu dari segala hal.

Seolah-seolah mereka-mereka ini yang pernah meminjamkan minda dan kederat mereka untuk membangunkan syarikat akhbar milik Umno itu kini berada dalam keadaan menyesal pernah bersamanya suatu ketika dahulu dan apa yang berlaku hari ini menjadikan usaha tersebut sebagai sia-sia.

Bukan sekadar itu, penulis masih terpaksa 'meminjam bahu untuk tangisan' rakan-rakan Utusan yang masih memberi perkhidmatan dan ahli-ahli NUJ yang saban hari mengeluh, meratap dan mengadu mengenai politik pejabat, keadaan kewangan dan ketidak tentuan masa depan akhbar milik Umno itu.

PRU14 yang lesu

Di sebalik trend semasa yang menunjukkan edaran akhbar semakin menurun tatkala lebih ramai memilih untuk mendapatkan maklumat dan berita dari portal berita internet, pengurusan yang lemah dan bebanan kredibiliti yang semakin terhakis demi 'menegakkan benang yang basah' kian menjadi dilema kelangsungan akhbar di kalangan pembeli dan pengiklannya.

Cukuplah dengan masa lampau, sempena ulang tahun ke-7 pemecatan dari syarikat akhbar milik Umno itu, penulis kian terpanggil untuk terus memacu ke hadapan demi terus memperkukuh serta menggiatkan lagi usaha-usaha ke arah kebebasan media di negara itu.

Mahu atau tidak, usaha-usaha untuk mendesak parti-parti politik melepaskan pegangan dalam syarikat media dan televisyen tempatan perlu terus dijalankan bagi melihat akhbar-akhbar arus perdana dan TV3 dibebaskan dari cengkaman parti pemerintah menjadi suatu realiti.

Ini sangat penting kerana selagi orang-orang kampung di banyak negeri masih membaca Utusan dan menonton TV3, selagi itulah hak mereka untuk mendapat berita dan maklumat yang benar, berimbang dan adil dalam membuat keputusan menjelang PRU14 tidak tercapai.

Harus diingat bahawa kegagalan untuk mendapat maklumat yang betul, berimbang dan benar akan membawa kepada kehancuran di masa hadapan jika rakyat negara ini terutama mereka yang berada di luar bandar masih terus disajikan dengan berita-berita berat sebelah dan memihak kepada MO1 dan sekutunya sahaja.

Yakinlah, PRU14 tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya media-media arus perdana masih berada dalam cengkaman parti politik pemerintah dan capaian internet di kalangan masyarakat luar bandar masih berada di tahap yang rendah, justeru, hanya terus memenangkan pihak yang sedia ada berkuasa.

Lihat Komen
ADS