Mahkamah siber putuskan penangguhan kes ‘muka badut’
Mahkamah siber Kuala Lumpur hari ini menetapkan 11 Oktober untuk membuat keputusan sama ada untuk membenarkan penangguhan perbicaraan aktivis Fahmi Reza, yang didakwa melakar imej yang menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ini selepas mahkamah dimaklumkan bahawa pihak pembelaan akan mencabar kesahihan pertuduhan itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu.
Mahkamah Siber yang dipengerusikan oleh Zaman Mohd Noor, juga dimaklumkan oleh peguam bela Syahredzan Johan bahawa pihaknya memohon penangguhan prosiding pada Selasa lalu.
Hasilnya, perbicaraan yang dijadual didengar hari ini dengan ahli parlimen PKR Nurul Izzah Anwar memberi keterangan, ditangguhkan ke tarikh lain.
Ini adalah kes berprofil tinggi pertama yang didengar oleh mahkamah siber yang baru ditubuhkan dengan pelancarannya dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Jumaat lalu.
Mahkamah itu dilapor ditubuhkan untuk menangani peningkatan kes kesalahan di alam maya.
Fahmi pada mulanya didakwa di mahkamah sesyen di Ipoh kerana menggambarkan Najib sebagai badut pada 6 Jun lalu. Kesnya kemudian dipindahkan ke mahkamah siber.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 233, Fahmi boleh dikenakan denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Beliau membuat permohonan di mahkamah tinggi untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya atas alasan kebebasan bersuara yang termaktub di bawah perlembagaan persekutuan yang dicabuli.
"Pertuduhan terhadap saya adalah cacat kerana ia tidak mennyatakan siapa yang tersinggung dengan grafik itu," tulisnya di laman Facebook pada 17 Ogos lalu.
Imej karikatur Najib bermuka badut tersebar di laman media sosial selepas ia pertama kali disiarkan pada 31 Januari lalu.

