Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes cerai wanita dikaitkan Muhyiddin selesai
Diterbitkan:  Sep 6, 2016 3:57 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Prosiding perceraian antara bekas timbalan pendakwa raya dan isterinya yang didakwa mempunyai hubungan dengan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berakhir dengan pembubaran rasmi perkahwinan itu.

Stanley Clement Augustin dan Nika Gee Siew Yee bersetuju membubarkan perkahwinan mereka hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Perkahwinan itu telah dibubarkan dengan persetujuan berkuatkuasa serta merta. Kes itu berakhir," kata peguam Augustin, S Periasamy kepada pemberita di mahkamah tinggi hari ini.

Beliau berkata ini adalah kenyataan bersama dari dirinya sendiri dan peguam Gee, Choo Dee Wei.

Sementara itu, ketika disoal, Choo enggan mengulas lanjut selain apa yang diperkatakan Periasamy.

"Sebagaimana Periasamy kata, ia ditutup sekarang dan itulah kenyataan bersama yang kita buat. Itu sahaja yang boleh saya katakan.

"Itu adalah penyelesaiannya," tambahnya.

Sebelum ini, penulis blog Raja Petra Kamaruddin menyiarkan akuan berkanun (SD) oleh Augustin yang mengaitkan Muhyiddin dalam kes itu.

Dokumen yang disiarkan di blog Raja Petra, Malaysia Today mendakwa isteri Muhyiddin sedar hubungan sulit tersebut.

SD itu juga mendakwa bahawa Gee bertemu Muhyiddin di luar negara dan menerima manfaat kewangan dan material daripadanya.

Raja Petra berkata sepertimana kumpulan anti-Najib termasuk Muhyiddin mencabar perdana menteri supaya memfailkan saman jika dakwaan rasuah terhadapnya tidak benar, bekas timbalan perdana itu juga perlu membuat tindakan sama atas dakwaan hubungan sulit itu.

Muhyiddin, bagaimanapun menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

"Semua dakwaan itu adalah fitnah yang berniat jahat dan hanya disebarkan untuk memusnahkan integriti saya dan berbau politik kotor," katanya.

Augustin juga sejak itu enggan mengulas mengenai isu itu.

Lihat Komen
ADS