Duterte beritahu Obama: Kenyataan 'anak jalang' tak peribadi
Presiden Filipina Rodrigo Duterte menyatakan rasa kesal berkaitan kenyataannya yang menggelar Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama sebagai “anak perempuan jalang”.
Kenyataan itu membawa kepada pembatalan pertemuan kedua-dua pemimpin itu dalam sidang kemuncak serantau di Laos.
Dalam kenyataan dibacakan jurucakapnya Ernesto Abella, Duterte berkata, kenyataan itu bukan bertujuan untuk menghina, lapor The Guardian.
“Punca komen keras saya kerana menyentuh soalan wartawan berkaitan kebimbangan, kami juga kesal ia menjadi serangan peribadi terhadap presiden AS,” kata Duterte.
Beliau juga berkata pertemuan dengan AS telah “dipersetujui bersama dianjak ke tarikh lain”.
Duterte mengeluarkan kenyataan itu selepas berminggu-minggu menerima kritikan daripada AS terhadap kes pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang dalam perang dadah negara itu.
“Anak pelacur, aku akan sumpah kamu dalam forum itu,” beliau dipetik sebagai berkata.
Duterte seorang pemimpin popular Filipina yang terkenal dengan kenyataan-kenyataan penuh warna-warni serta kempen menentang dadah di negara itu.
Rumah Putih berkata Obama tidak merancang melontarkan kebimbangannya terhadap isu-isu hak asasi manusia di Filipina ketika bertemu Duterte.
Pentadbiran Duterte dalam perang dadahnya sejak mengambil alih tampuk kuasa pada Mei lalu menyaksikan kes pembunuhan tanpa melalui proses mahkamah.
“Kita akan teruskan sehingga pengeluar dadah terakhir terbunuh,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Reuters.

