Wisma Putra: Selesai kes diplomat 'perhambakan' amah cara baik
Pegawai Kementerian Luar Negeri telah diarahkan untuk menyelesaikan secara baik kes seorang diplomat negara bersama isterinya yang didakwa melayan pembantu rumah mereka, dari Sri Lanka seperti 'hamba'.
"Kementerian Luar Negeri mengambil maklum bahawa tuntutan mahkamah telah difailkan di New York terhadap seorang penjawat awam Malaysia yang sebelum ini ditempatkan di Pejabat Konsul di New York, Amerika Syarikat.
"Perkara ini telah dibawa kepada perhatian pegawai yang terbabit dengan arahan bahawa ia perlu diselesaikan secara baik," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.
Ia menambah bahawa ini adalah kes sivil yang melibatkan perjanjian kontrak persendirian, dan dengan itu akan diuruskan mengikut proses undang-undang.
Akhbar New York Post, semalam melaporkan Parimaladevi "Mala" Jeganathan diarahkan bekerja lebih 15 jam sehari untuk mendapat tidak lebih daripada AS$1.71 sejam.
Diplomat itu, Danish Kumar dan isterinya, Tamil Arasi Krishnan turut didakwa melarang Parimaladevi daripada meninggalkan kediaman dan mengugut untuk melakukan 'sesuatu' jika berdegil.
Tuntutan saman itu berkata, Parimaladevi yang mula bekerja dengan pasangan terbabit pada tahun 2013 berasa 'takut untuk keluar seorang diri' dan mendakwa beliau diperhatikan oleh pengawal keselamatan konsulat Malaysia dan penjaga pintu bangunan.
"Cukup jelas beliau orang gaji mereka. Beliau tidak dibenarkan untuk keluar rumah kecuali mengiringi keluarga tersebut ke gereja sekali-sekala," kata peguam Parimaladevi, Anne Li.
Pada tahun 2014, pasangan itu juga kononnya memberitahu Parimaladevi bahawa visanya adalah 'terlalu mahal' untuk diperbaharui dan berkata, jika beliau tidak bersetuju untuk bekerja selama tiga setengah tahun lagi, beliau akan dihantar pulang ke Sri Lanka.
Tuntutan saman itu turut mendakwa Tamil memberitahu pembantu rumah berkenaan bahawa dia bukan sesiapa dan tidak mampu untuk mendapatkan bantuan jika sesuatu yang buruk menimpanya di Amerika Syarikat, kata laporan itu.
Parimaladevi kemudiannya diambil dari pangsapuri tersebut pada 6 Mac 2014 selepas mendapatkan bantuan daripada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan diletakkan di dalam rumah amal yang selamat dan dibiayai.

