Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selepas MAS, Mueller kini sertai Emirates
Diterbitkan:  Sep 7, 2016 3:26 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Airlines (MAS), Christoph Mueller kini sah menyertai syarikat penerbangan Emirates yang berpangkalan di Dubai, memetik laporan Bloomberg.

Beliau yang meninggalkan MAS bulan ini tidak berehat dengan terus menyambung tugasnya di Emirates pada bulan yang sama sebagai ketua pegawai digital dan inovasi, kata laporan itu.

"Mueller diberi jawatan yang baru dicipta bagi memainkan peranan yang beerti dalam pengurusan syarikat yang menjana trafik antarabangsa terbesar dunia itu," katanya.

Mueller meninggalkan MAS lebih awal walaupun kontraknya telah diikat untuk tempoh tiga tahun.

Sebelum ini, Mueller mencetuskan kontroversi apabila berkongsi pengalamannya ketika mula-mula dilantik menerajui syarikat tersebut.

"Di sebalik pelbagai pengumuman kerajaan, pemulihan MAS tidak dilaksanakan ketika saya mula-mula menjadi CEO.

"Ramai di kalangan 20,000 kakitangan yang bekerja untuk syarikat itu tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan.

"Malah, ketika saya berjalan di hangar, ada pekerja yang tidur. Sebab itu, saya terpaksa radikal mengurangkan 6,000 pekerjaan," kongsi Muller kepada stesen penyiar Jerman, Deutsche Welle (DW) menerusi portal webnya.

Dalam wawancara dengan DW itu juga, Mueller turut menyedari bahawa MAS bukan sebuah firma yang biasa, sebaliknya mempunyai elemen kebanggaan warisan.

"Ia dikenali sebagai simbol perkhidmatan pelanggan Asia. Melihatkan suasana ekonomi makro Malaysia, dengan pertumbuhan ekonomi lebih lima peratus secara purata untuk 55 tahun sehingga sekarang, MAS berpotensi untuk menjana keuntungan," kata Mueller lagi.

Malaysia Airlines (MAS) telah menamakan ketua pegawai operasi dan bekas eksekutif Ryanair, Peter Bellew sebagai ketua eksekutif baru MAS, lapor The Star.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS