Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairuddin failkan afidavit baru, sertakan klip 'AG menari'
Diterbitkan:  Sep 9, 2016 12:52 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan afidavit baru berhubung permohonan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Menurut peguam Khairuddin, Mohd Haniff Khatri Abdulla, afidavit tersebut mengandungi klip video yang memaparkan kononnya AG menari dengan beberapa menteri semasa perarakan Hari Merdeka.

Ekoran itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi tadi telah menetapkan 19 September ini untuk pengurusan kes antara plaintif dan Jabatan Peguam Negara berkenaan bukti baru tersebut.

Klip video tersebut telah didedahkan oleh Haniff yang mengatakan adalah tidak wajar bagi AG untuk menari dengan para menteri terutamanya ketika kerajaan terpalit dalam skandal 1MDB.

Peguam tersebut, yang turut mewakili bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Apandi menjelaskan pelakuannya dalam video itu atau harus meletak jawatan.

Dalam video itu, seorang lelaki menyerupai Apandi dilihat menari-nari dengan lima menteri kabinet iaitu Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Nancy Shukri.

Wan Junaidi kemudian berkata, tiada apa yang salah dalam tindakan Apandi menari bersama para menteri di khalayak ramai.

Menteri sumber asli dan alam sekitar itu turut mendakwa ia berlaku kerana mereka 'terpesona' dengan muzik yang dimainkan pada masa ini.

Apandi pula, mengambil sikap mendiamkan diri dalam perkara itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS