Ku Nan: Mungkin Nazri tidak dengar MCA sepenuhnya
Saranan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz supaya MCA meninggalkan BN, mungkin kerana beliau mendengar sepenuhnya apa yang diperkatakan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Demikian pandangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika diminta mengulas perbalahan terbuka yang semankin panas di antara pemimpin Umno dan MCA itu.
"Mungkin Nazri juga tidak mendengar apa yang dikatakan," katanya pada sidang media selepas Program Ibadah Korban Sempena Aidiladha peringkat Parlimen Putrajaya, hari ini.
Berikutan pertikaman lidah dengan Ti, Nazri mencabar MCA untuk keluar daripada BN, kerana katanya MCA gemar merungut, dan juga mendakwa bahawa Umno punca kekalahan parti Cina itu pada pilihan raya umum lalu.
“Yang kata Umno merugikan dia, kalau Umno rugikan dia, dia yang kena keluar. Ini apa pasal pula saya yang kena keluar? Saya tak pernah merungut pasal BN pun,” kata Nazri yang juga adalah Anggota Majlis Tertinggi Umno.
Perang mulut kedua-dua mereka tercetus apabila Ti menggesa Umno mengubah taktik politik ‘jaguh kampung’ iaitu dengan menakut-nakutkan bangsa lain untuk memenangi hati pengundi Melayu.
Ti berhujah retorik Umno itu membantu parti Melayu berkenaan memenangi undi di kawasan luar bandar tetapi taktik seumpamanya menghakis sokongan pengundi bandar di kawasan majoriti Melayu dan mengorbankan rakan-rakan gabungan BN.
Apabila ditanya mengenai komen Ti, Tengku Adnan yang juga adalah setiausaha agung Umno berkata ia mungkin pandangan peribadi pemimpin MCA itu.
Beliu juga menyaran anggota Umno dan parti-parti komponen BN sentiasa mengutamakan perjuangan parti berbanding kepentingan diri.
Sambil memberi contoh dirinya yang pernah digugurkan daripada kabinet, katanya beliau tidak pernah bertindak menentang parti.
"Saya tidak marah. Pada saya, perjuangan parti lagi penting...kalau kita letak kepentingan parti dahulu, ia tidak jadi masalah,” katanya.

