Maria Chin anjing peliharaan pembangkang, kata Jamal
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos memberi amaran akan kepada mengadakan demonstrasi balas terhadap perhimpunan BERSIH 5 dan melabel pemimpinnya Maria Chin Abdullah, sebagai 'anjing pembangkang’.
Jamal juga mengalu-alukan supaya penganjur BERSIH mengumumkan tarikh himpunan dengan segera dan mereka tidak sabar menunggu.
"Kita tahu BERSIH 5 adalah anjing peliharaan pembangkang dan kita tahu Maria Chin hanya sebagai bintang sarkas.
"Seperti sarkas, bila mana tuan punya sarkas mahu membuat pertunjukan, jadi ibaratnya Maria Chin saya anggap macam binatang sarkas pembangkang yang menyalak seperti anjing lepas beranak.
"Jadi saya mengalu-alukan BERSIH, mari datang. Umum tarikh cepat-cepat, kami tak sabar nak menunggu. Kami sudah bersedia," katanya pada sidang akhbar di Klang semalam.
Maria Chin sebelum ini mengumumkan bahawa perhimpunan BERSIH 5 akan diadakan pada bulan November. Tarikh sebenar akan diumumkan pada sidang akhbar pada 14 September nanti.
Perhimpunan itu bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan untuk bertindak ke atas individu tertentu yang dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1' dalam tuntutan mahkamah oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat ke atas aset beraitan 1MDB pada 20 Julai lalu.
Individu itu dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, tetapi beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku, manakala Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohd Apandi Ali membebakannya daripada sebarang pertuduhan.

