Sebanyak 307 rumah di beberapa kawasan di jajahan ini mengalami kerosakan bumbung akibat dilanda ribut, ketika sambutan Aidiladha, semalam.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan semasa ribut selama setengah jam yang melanda pada kira-kira 7.20 malam itu.
Antara kawasan terjejas teruk akibat ribut berkenaan ialah Kelewek, Bukit Tebu, Banggol, Jalan Klinik, Pondok Lama, Jalan Wan Ahmad, Taman Kenanga dan Jalan Kubur.
Kejadian ribut turut menyebabkan kerosakan bumbung pada sekolah dan gerai perniagaan selain beberapa pokok tumbang.
Seorang penduduk Kampung Manal Tiga di sini, Haris Abbas, 49, berkata ketika kejadian, dua anak lelaki dan seorang anak perempuannya berusia antara 13 dan 17 tahun yang berada di dalam rumah sempat melarikan diri dan berlindung di rumah jiran.
Ketika kejadian saya dan isteri tidak berada di rumah dan bergegas pulang selepas diberitahu oleh jiran mengenai kejadian itu, katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Katanya, beliau mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas kesemua bumbung rumahnya yang siap kira-kira tiga bulan lepas, tercabut akibat ribut berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Umno bahagian Tanah Merah Mohd Bakri Mustapha berkata pihaknya mendapati sebanyak 264 rumah mengalami kerosakan kecil iaitu kos baiki di bawah RM1,000 manakala 43 rumah didapati rosak teruk dengan anggaran kos membaiki antara RM1,000 hingga lebih RM10,000.
-Bernama
