Maria Chin Abdullah melahirkan rasa bingungnya dengan langkah ancaman aktivis anti-BERSIH yang mahu mengadakan 'senaman tonggeng' di depan rumahnya.
Beliau bagaimanapun berkata tidak dapat melakukan apa-apa dan berharap perhimpunan itu berlangsung aman.
“Saya tak boleh halang selagi mereka berhimpun dengan aman.
“Saya cuma tidak faham kenapa mereka mahu buat tindakan itu?
“Saya rasa mereka benar-benar perlu fahaman apa itu tuntutan BERSIH,” kata pengerusi gabungan proreformasi sistem pilihan raya itu.
Selepas empat tahun, aktivis yang mendukung pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengancam mengadakan “senaman tonggeng” di depan rumah Maria sebagai bantahan terhadap himpunan BERSIH 5.
Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju sebelum ini pernah bertindak sama ketika membantah pengerusi BERSIH sebelum ini Datuk S Ambiga.
Maria hari ini mengumumkan BERSIH 5 ke arah “Malaysia baru” akan diadakan pada pada 19 November ini, selain bantahan berkonvoi mulai 1 Oktober depan.
Sementara itu, Maria juga ditanya sama ada beliau akan bertindak sama dengan Ambiga yang bersikap 'budiman' menghidangkan air untuk kumpulan itu sebelum ini.
“Sudah pasti.
“Beritahu saya bila, saya hidang (air) buat mereka,” katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
