Bersih seru pengundi turut serta persempadanan semula SPR
Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) menyeru rakyat Malaysia agar mengambil bahagian dalam proses persempadanan semula yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk semenanjung Malaysia mulai esok hingga 14 Oktober ini.
Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Jay Jay Denis berkata, seruan itu dibuat kerana proses tersebut boleh mempengaruhi keputusan tiga pilihan raya umum akan datang dan semua pilihan raya negeri kecuali Sarawak.

"BERSIH memberi amaran kepada rakyat Malaysia bahawa cadangan SPR - dengan sekali dibentangkan kepada Parlimen pada akhir proses (persempadanan semula) - akan diundi dengan majoriti mudah di Dewan Rakyat.
"Ini bermakna apa yang tertera dalam laporan akhir SPR akan diluluskan," kata beliau pada sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Untuk mengambil bahagian dalam proses itu, ujar Denis, semua rakyat Malaysia harus bermula dengan menilai kesannya terhadap kawasan masing-masing bagi melihat jika mereka terjejas.
Sekiranya terdapat sebarang percanggahan, katanya, bantahan hendaklah difailkan pada 14 Oktober ini berserta sekurang-kurangnya 100 tandatangan atau para pengundi juga boleh memfailkan tindakan undang-undang terhadap SPR.
Tambah Denis, BERSIH komited untuk memperjuangkan proses persempadanan semula dengan membantu pengundi membuat bantahan berdasarkan kepada paparan butiran baru pengundi oleh SPR.

