Ketika umat Islam negara luar “berkorban” berdepan kerajaan yang tidak bertoleransi terhadap kepercayaan mereka, umat Islam negara ini digesa bertindak sebaliknya.

Mengambil contoh sekatan terhadap jemaah haji Iran dan pemakaian pakaian mandi 'burkini' di Perancis, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata umat Islam perlu menunjukkan sikap yang baik terhadap golongan minoriti.

“Kita sebagai orang Islam sepatutnya menunjukkan contoh yang baik terhadap golongan minoriti walaupun kita berkuasa ke atas mereka.

“Sepatutnya diskriminasi terhadap agama lain seperti berlaku di Perancis dikutuk serta dijauhi oleh negara-negara Islam dan ajaran Islam sebenarnya diamalkan,” kata Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH) itu.

Dalam kenyataan sempena hari raya haji atau dikenali juga sebagai hari raya korban kelmarin, anggota parlimen Kuala Terengganu itu mengharapkan masyarakat Islam di Malaysia tidak mudah menjatuhi hukum sesama Islam dengan tuduhan keras.

"Marilah kita berhati-hati supaya sikap hukum menghukum dan tekanan ke atas pihak yang berbeza pendirian tidak berlaku di Malaysia baik melalui perkataan atau perbuatan kita," katanya.