Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Prestasi Bursa M'sia terendah dalam 5 minggu
Diterbitkan:  Sep 14, 2016 6:48 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Tekanan jualan dalam saham mewah dan kaunter berkaitan kewangan mempengaruhi Bursa Malaysia hari ini, dengan saham pandu pasaran ditutup pada paras terendah dalam tempoh lima minggu berikutan sentimen lemah.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,661.39, susut 15.79 mata, daripada 1,677.18 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks turun naik antara 1,659.2 dan 1,674.68 mata sepanjang sesi dagangan susulan penyertaan lemah disebabkan minggu dagangan yang pendek.

Bursa Malaysia ditutup pada Isnin sempena Hari Raya Aidiladha dan akan ditutup pada Jumaat kerana cuti Hari Malaysia.

Penurunan dalam Axiata dan Public Bank mengheret turun indeks barometer, menyumbang sejumlah 4.98 mata kepada kejatuhan dalam indeks.

Penyedia telekomunikasi, Axiata ditutup 18 sen lebih rendah kepada RM5.31 manakala Public Bank susut 34 sen kepada RM19.46.

Peniaga berkata sentimen pelabur dalam pasaran dibayangi oleh ketidakpastian mengenai langkah bank pusat AS yang seterusnya berhubung kadar faedahnya dan ini menolak minat untuk mengambil risiko dalam kebanyakan bursa Asia.

Pada peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun jatuh 0.69 peratus kepada 16,614.24, Hang Seng Hong Kong merosot 0.11 peratus kepada 23,190.64 dan Straits Times Singapura susut 0.27 peratus kepada 2,810.69.

Suasana pasaran di bursa tempatan negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 533 berbanding 265 manakala 350 kaunter tidak berubah, 532 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 1.40 bilion unit bernilai RM1.82 bilion daripada 1.36 bilion unit bernilai RM1.51 bilion dicatatkan pada Selasa.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 88.66 mata kepada 11,705.97, Indeks FBMT100 susut 88.93 mata kepada 11,412.37 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 81.29 mata kepada 12,356.69.

FBM 70 berkurangan 35.43 mata kepada 13,623.99 dan FBM Ace susut 0.86 mata kepada 5,186.79.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan jatuh 158.1 mata kepada 14,247.78, Indeks Perusahaan turun 19.49 mata kepada 3,109.23, bagaimanapun Indeks Perladangan meningkat 4.71 mata kepada 7,865.96.

Daripada saham wajaran tinggi, Tenaga jatuh 14 sen kepada RM14.40, Maybank merosot lima sen kepada RM7.89, IHH Healthcare susut satu sen kepada RM6.61 dan Petronas Chemicals merosot dua sen kepada RM6.63.

Dalam kalangan saham cergas, D.B.E Gurney tidak berubah pada 4.5 sen manakala Hiap Teck meraih setengah sen kepada 29.5 sen dan Melewar Industrial menambah tiga sen kepada 57 sen.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 974.84 juta saham bernilai RM1.75 bilion daripada 899.08 juta saham bernilai RM1.43 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 196.29 juta unit bernilai RM27.25 juta daripada 219.16 juta unit bernilai RM33.62 juta semalam.
Waran susut kepada 229.71 juta saham bernilai RM43.69 juta daripada 235.45 juta saham bernilai RM47.01 juta sebelum ini.

Barangan pengguna menyumbang 90.16 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (328.23 juta), pembinaan (49.78 juta), perdagangan dan perkhidmatan (308.09 juta), teknologi (44.73 juta), infrastruktur (24.72 juta), SPAC (3.29 juta), kewangan (56.94 juta), hotel (183,300), hartanah (39.76 juta), perladangan (20.27 juta), perlombongan (sifar), REIT (8.67 juta) dan dana tertutup (8,600).

- Bernama

Lihat Komen
ADS