Perhimpunan BERSIH 5 pada November ini perlu diteruskan memandangkan kebimbangan mengenai persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya yang sedang giat dilaksanakan, kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin.

“Kelmarin, SPR telah mengesyorkan penambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah dengan meningkatnya jumlah kerusi kepada 73.

“Sabah sebuah negeri yang terkenal sebagai pintu masuk bagi warga asing secara haram dan mereka inilah yang akan membawa kad pengenalan Malaysia sewaktu hari pengundian kelak,” katanya dalam satu kenyataan merujuk kepada isu pengundi hantu.

Zuraida mendakwa dengan penambahan kerusi negeri dan parlimen, secara tidak langsung BN sedang menjual negara kepada orang asing, dan tiada apa yang boleh dilakukan akhirnya.

“Dengan adanya orang asing memegang kad pengenalan Malaysia, maka tidak hairanlah jika suatu hari nanti di dewan rakyat kita akan diwarnai oleh orang asing.

“Yang kini sudah adapun warga asing yang menjadi Ketua Bahagian Umno,” katanya tanpa menamakan individu berkenaan.

Namun, pada kenyataannya, Zuraidi turut membidas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang dilaporkan memberi RM1,000 kepada lebih 600 perwakilan bahagian.

Zuraida juga menyatakan sokongan kepada BERSIH dan menggambarkan pengerusi gabungan pembaharuan pilihan raya itu, Maria Chin Abdulah sebagai wirawati negara.

Walaupun di bawah tekanan, Zuraida berkata Maria tidak pernah gentar daripada menerajui gerakan yang menuntut pilihan raya yang bersih dan adil sebagai agenda pembaharuan.

Maria semalam, mengumumkan bahawa himpunan kelima BERSIH akan diadakan pada 19 November di Kuala Lumpur dan disusuli konvoi selama tujuh minggu di seluruh negara membabitkan 246 bandar, pekan dan kampung.

Berikutan pengumuman itu, pemimpin Gerakan Merah Mohd Ali Baharom mengugut untuk membuat 'senamam tonggeng' siri kedua di hadapan rumah Maria.

Jamal juga berulang kali memberi amaran bahawa Gerakan Baju Merah yang diterajuinya akan bertembung dengan peserta BERSIH.

[Baca berita penuh]