Fitch: Cadangan Noh bakal burukkan peningkatan hutang isi rumah
Cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar untuk membenarkan pemaju hartanah membekalkan bakal memburukkan hutang isi rumah yang semakin meningkat di Malaysia, kata agensi penarafan Fitch Ratings.
"(Ia) boleh menambah risiko yang berkaitan dengan peningkatan hutang isi rumah.
"Skim ini mungkin menggalakkan pemberian pinjaman yang tidak terkawal kepada isi rumah dengan profil kewangan yang lemah, dan boleh melemahkan kekuatan sistem kewangan jika tidak dilaksanakan secara berhemah," kata Fitch Ratings dalam laporan di laman webnya, semalam.
Noh, Khamis lalu mengumumkan bahawa pemaju kini boleh memohon lesen pinjaman wang untuk memberi pinjaman kepada pembeli rumah.
Beliau berkata, kadar faedah akan dihadkan kepada 12 peratus bagi pinjaman dengan cagaran, atau sehingga 18 peratus bagi yang tanpa cagaran.
Kabinet semalam mengarahkan supaya cadangannya itu dikaji dengan lebih lanjut.
Kementerian Kewangan sebelum ini berkata pada bulan Mac tahun ini, hutang isi rumah berjumlah RM1.04 trilion, atau 89 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong memaklumkan Parlimen pada Mei lalu, bahawa 80 peratus daripada hutang itu membabitkan institusi perbankan.
"Mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan mempunyai hutang bersamaan
kira-kira tujuh kali pendapatan tahunan mereka, berbanding dengan tiga kali bagi isi rumah berpendapatan lebih tinggi.
"Adalah jelas, isi rumah dengan profil kewangan lemah dan mereka yang kurang akses kepada pinjaman bank mungkin menjadi sasaran pemaju," kata Fitch Ratings.
Ini, katanya, terutamanya akan menjadi masalah kerana pinjaman daripada pemaju hartanah tidak akan jatuh di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia, dan menjejaskan usaha bank pusat itu untuk membendung kenaikan hutang isi rumah.
Usaha itu, kata agensi berkenaan berjaya, dengan pertumbuhan hutang isi rumah berkurangan daripada paras tertinggi 16.8 peratus pada tahun 2011 kepada hanya 7.3 peratus pada 2015.

