Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita dakwa anjing dicampak dari pangsapuri
Diterbitkan:  Sep 15, 2016 8:36 PM
Dikemaskini: 12:44 PM

Seekor anjing dipercayai dicampak dari sebuah pangsapuri oleh pemiliknya, dakwa seorang jiran yang tinggal di unit tingkat bawah bangunan itu.

Pengguna Facebook, Nina Zainal menceritakan kisah kematian anjing berkenaan yang dikongsi di laman sosial malam tadi.

"Kebiasaan aku balik dari kerja memang aku buka tingkap rumah sebab bela kucing.

"Jadi aku rilek-rilek tengok TV tadi aku dengar benda jatuh lalu ikut tingkap (rumah) aku, berderau darah aku," katanya yang pada awalnya menyangka kucing peliharaannya terjatuh.

Nina berkata beliau pasti penghuni rumah berkenaan mencampakkan haiwan tersebut kerana selepas anjing itu jatuh, dia mendengar seseorang menutup tingkap dan berlari.

"Aku maki dari luar macam orang gila sebab marah dia buat kat binatang macam tu. Aku tahu dia ada dalam (rumah) sebab lepas dia buang anjing tu aku dengar dia tutup tingkap dan berlari," katanya.

Menurut Nina, dia segera melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan dan membuat laporan polis.

Dalam posting Facebook lain selepas itu, Nina memuat naik gambar surat yang dikirim kepada pemilik anjing berkenaan.

Surat tersebut diletakkan di bawah pintu rumah jirannya itu.

"Saya tahu apa yang kamu lakukan kepada anjing malang itu, yang kamu telah lempar keluar dari balkoni kamu.

"Apa sebabnya saya tak mahu tahu kerana tak ada sebab untuk berlaku kejam kepada mana-mana makhluk hidup," tulisnya.

Nina dalam surat berkata dia telah melaporkan perkara itu kepada polis dan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS