Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan selamat menyambut Festival Pertengahan Musim Luruh kepada semua masyarakat Cina di Malaysia.
"Hari ini semua ahli keluarga kaum Cina berkumpul untuk meraikan Festival Pertengahan Musim Luruh. Inilah masanya untuk berkumpul.
"Rakan-rakan dan saudara-mara bersama-sama berkumpul untuk berkongsi cerita, mengimbas kenangan sambil menikmati kuih bulan. Secara tradisinya, ia disambut selepas penuaian yang memberi hasil," kata Najib menerusi posting beliau dalam laman Twitter hari ini.
Najib juga berkata oleh kerana rakyat Malaysia akan menyambut Hari Malaysia esok, beliau mengingatkan rakyat untuk bersama-sama berganding bahu dan bersatu untuk mewujudkan sebuah negara yang lebih makmur.
"Apabila kita memperingati Hari Malaysia esok, janganlah kita lupa untuk
bersatu ke arah mewujudkan Malaysia yang lebih berjaya untuk semua. Selamat menyambut Festival Pertengahan Musim Luruh!", kata Najib.
-Bernama
