Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR P Pinang kata Jeff Ooi sebagai bebal, rasis
Diterbitkan:  Sep 17, 2016 6:43 AM
Dikemaskini: 12:55 PM

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman menyelar sikap biadap dan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi yang mempersenda kematian allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din semalam.

Mansor yang juga anggota parlimen Nibong Tebal berkata, justeru, PKR Pulau Pinang tidak bersekongkol dan akan menjarakkan diri dengan tindakan Jeff Ooi itu.

"PKR sentiasa percaya bahawa manusia itu dilahirkan mulia dan kita seharusnya meletakan kemuliaan insan sebagai satu asas penting dalam etika kita berpolitik.

"Perbezaan politik tidak seharusnya menjadikan kita hilang sifat kemanusiaan dengan mempersenda-sendakan kematian sesiapa pun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mansor merujuk kepada tindakan Jeff Ooi yang menulis 'Adios Harun Din. Let there be peace' di twitternya mengenai kematian arwah Haron Din semalam.

Jeff Ooi kemudian menjelaskan di twitter itu bahawa maksud 'Adios' dalam bahasa Sepanyol ialah 'farewell' dan dalam Bahasa Malaysia sebagai 'selamat jalan'.

Pada masa yang sama, Mansor berkata, pihaknya juga ingin menyatakan rasa kehilangan dan berdoa semoga diberikan keteguhan dan kesabaran kepada keluarga allahyarham dalam menempuh suasana sedih ini.

"Saya bagi pihak PKR Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allayarham Haron Din yang telah kembali ke rahmatullah semalam.

"Kita semua milik Allah Taala dan kepadaNya kita akan kembali. Kami mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang soleh.

"Sesungguhnya kehilangan almarhum adalah satu kehilangan yang sangat besar bukan sahaja dalam dunia politik malah juga dunia ilmu. Karya almarhum seperti "Manusia dan Islam" adalah antara sebahagian daripada sumbangan almarhum kepada dunia ilmu," tambah beliau.

Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata antara 'politik bodoh' pemimpin DAP tertentu ialah membuat kenyataan yang menimbulkan kemarahan sesuatu kaum tanpa sebarang faedah kepada politik dan negara.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, beliau dilihat jelas merujuk kepada tweet Jeff Ooi berhubung kematian Dr Haron Din.

Menulis di FB, Dr Mohd Asri berkata jika pun ada perbezaan dengan orang yang baru meninggal, orang yang bijak akan menangguhkan pendapatnya pada waktu yang sesuai.

Hanya pemimpin yang 'bodoh' sahaja, tegasnya, yang tidak tahu menjadi sensitiviti awam ataupun kelompok tertentu tanpa alasan yang munasabah.

"Apalah faedah dari kenyataan buruk pemimpin DAP tertentu mengenai kematian Allahyarham Dato Haron Din pada waktu ini?

"Jika ini mentaliti pihak berkenaan, maka tidak layak untuk menjadi pemimpin di mana-mana peringkat bagi masyarakat majmuk di Malaysia ini," tegasnya.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Jeff Ooi memohon maaf kepada keluarga allahyarham Dr Haron Din di atas kenyataan biadapnya di Twitter berhubung kematian mursyidul am PAS itu semalam.

DPPM menyifatkan Jeff Ooi sebagai seorang ahli Parlimen yang "paling kurang ajar di negara ini" apabila sanggup mengeluarkan perkataan tersebut pada waktu sangat tidak sesuai dan mendakwa ia sekaligus membayangkan wajah DAP yang merupakan parti yang diwakilinya apabila tidak ada sebarang teguran dari pimpinan parti terhadap sikapnya itu.

"Jeff Ooi tidak cukup hanya sekadar wajib memadamkan kenyataannya di Twitter semata-mata, bahkan wajib mengemukakan permohonan maaf kepada ahli keluarga Allahyarham bagi menunjukkan dia benar-benar kesal dan menarik balik kenyataan tersebut," kata Ketua Penerangan DPPM, Ahmad Fadhli Shaari.

DPPM juga membuat laporan polis terhadap Jeff Ooi petang ini.

Pada masa yang sama, Bernama melaporkan, Setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub menyifatkan kenyataan Jeff Ooi itu bersifat kurang ajar dan melampaui sensitiviti umat Islam.

Menyebut demikian, Mustapha menambah, Jeff sebagai seorang rakyat Malaysia, sepatutnya memahami adat resam keagamaan kaum lain.

"Apa yang dilakukan Jeff Ooi ternyata beliau sudah lupa bahawa negara ini majoriti rakyatnya adalah Melayu beragama Islam. Kebiadapan Jeff ini membuktikan dirinya sudah hilang rasa hormat kepada penganut agama lain," kata Mustapha dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Mustapha mengutuk kebiadapan Jeff itu dan menuntut beliau meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam negara ini.

"Penghinaan ini bukan hanya kepada Haron tetapi turut dirasai oleh semua orang Islam di negara ini. Perlu diingat bahawa kami orang Melayu boleh berbeza dalam fahaman politik tetapi kami tetap bersatu dalam hal membabitkan agama.

"Walaupun Haron seorang pemimpin PAS tetapi beliau adalah seorang beragama Islam. Orang Melayu beragama Islam dalam PAS atau UMNO seperti pepatah Melayu...cubit paha kanan, paha kiri turut terasa sakitnya... apabila menyentuh mengenai agama Islam," katanya.

Lihat Komen
ADS