Lapan belas penumpang bas ekspres termasuk tiga warganegara British nyaris maut apabila bas yang mereka naiki terbabas lalu terjatuh ke lereng bukit di KM119 Jalan Kuantan-Segamat dekat Rompin petang tadi.

Namun hanya seorang penumpang wanita Zawiah Hamzah, 47, mengalami kesakitan pada bahagian pinggang dan telah pun dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk mendapatkan rawatan manakala 17 penumpang lain serta pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila pemandu bas ekspres berkenaan cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta di hadapan yang secara tiba-tiba memasuki simpang secara mengejut.

"Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba sebuah kereta yang berada di hadapan bas ini cuba memasuki simpang di sebelah kanan menghala ke Segamat, Johor tetapi disebabkan jarak terlalu dekat maka pemandu bas ini cuba mengelak ke kanan lalu terbabas dan terjatuh serta terbalik," katanya kepada Bernama.

Muhammad Aidil berkata sewaktu kejadian itu berlaku bas ekspres berkenaan sedang dalam perjalanan dari Mersing ke Kuala Lumpur.

"Kes ini disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.

Sementara itu, pemandu bas ekspres itu Jamal Musa, 63, ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian berkata kemalangan teruk seumpama itu merupakan kali pertama berlaku kepadanya sepanjang hampir 30 tahun memandu bas.

"Kalau setakat kemalangan kecil dan sikit-sikit itu pernah ada tetapi teruk sampai jatuh ke lereng bukit macam ini, tidak pernah lagi sebelum ini," katanya.

Jamal berkata sebelum kejadian itu berlaku beliau mengambil penumpang di Terminal Bas Muadzam Shah sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

- Bernama