MyPPP yakin dapat kerusi PRU14, kata Kayveas
Parti Progresif Penduduk (MyPPP) yakin parti itu akan diberikan kerusi yang sesuai untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Presiden parti Tan Sri M. Kayveas berkata: "Saya tahu kita (PPP) akan ditawarkan kerusi kali ini.
"Seperti biasa, kerusi sentiasa menjadi isu apabila tiba pilihan raya umum," kata beliau ketika ditemui pemberita semasa sambutan Hari Keluarga MyPPP di Taman Tasik Titiwangsa, semalam.
Sementara itu, Kayveas menyelar kenyataan yang dibuat oleh anggota Parlimen Jelutong, Jeff Ooi di laman Twitter mengenai pemergian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din sambil berkata pemimpin seperti itu tidak layak untuk memimpin.
Hari Keluarga MyPPP itu dianjurkan oleh sayap wanita parti dan dihadiri oleh kira-kira 100 keluarga terdiri kebanyakannya daripada ahli PPP dan keluarga mereka.
- Bernama

