Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam sangkal 'tiada keperluan waran tangkap’ IGP
Diterbitkan:  Sep 20, 2016 12:07 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Beberapa peguam berpandangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar silap apabila berkata tiada waran tangkap diperlukan semasa menangkap bekas wartawan, Sidek Kamiso kerana dakwaan kesalahan itu adalah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Seksyen 258 Akta Komunikasi dan Multimedia dengan jelas menyatakan bahawa pihak berkuasa memerlukan waran tangkap," kata peguam Andy Yong kepada Malaysiakini.

Peguam yang mewakili Sidek, Siti Kasim juga membuat catatan sama di facebook beliau.

"Sebagai tindak balas kepada kenyataan Ketua Polis Negara bahawa waran tidak diperlukan dalam tangkapan pagi semalam itu, sila jelaskan peruntukan Seksyen 258 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ini," katanya.

Seksyen 258 menyatakan bahawa setelah selesai siasatan, pegawai yang diberi kuasa itu perlu segera menyerahkan maklumat berkenaan kepada polis.

“Pegawai penjaga suatu balai polis dan seorang pegawai polis boleh menangkap, dengan waran, seseorang yang mungkin telah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini atau perundangan subsidiarinya,” petikan seksyen itu.

Ketika ditanya sama ada perkataan "boleh" dalam seksyen ini memperuntukan budi bicara untuk menangkap atau budi bicara untuk mendapatkan waran, Yong berkata di bawah Seksyen 233 ia bukan satu ‘kesalahan boleh tangkap’.

Oleh itu, katanya, tidak wajar untuk menjalankan tangkapan tanpa waran terutama apabila seksyen 258 menyatakan ini dengan jelas.

Sidek ditahan pada awal pagi Isnin kerana didakwa menghantar tweet yang dikatakan "menghina Islam".

Beliau didakwa membuat catatan tweet berhubung kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din, yang meninggal dunia pada 16 September lalu.

Isteri Sidek, Norlin Wan Musa berkata, anggota polis tanpa pakaian seragam menceroboh rumah mereka dan gagal mengemukakan waran tangkap apabila diminta berbuat demikian.

Mereka turut merampas telefon dan komputer Sidek, dan membawanya ke Johor Bahru, tempat laporan polis dibuat ke ayasnya.

Yong berkata cara tangkapan Sidek itu tidak wajar, dan adalah penyalahgunaan kuasa oleh polis.

"Beliau hanya seorang pesalah tweet, tidak ada keperluan untuk menangkapnya pada waktu awal pagi, mengugut keluarga dan anak-anaknya. Ini adalah satu penyalahgunaan kuasa.

"Saya faham jika kamu berurusan dengan penjenayah tegar, kamu perlu bertindak keras, tetapi bukan ke atas apa Sidek yang dilakukan itu."

Sidek dibebaskan dengan jaminan polis semalam selepas mahkamah menolak permohonan polis untuk tahanan reman.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS