Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Bekas wartawan Sidek Kamiso mendakwa polis cuba membuat provokasi terhadapnya dengan bertanya soalan berkaitan kepercayaan agama dan kecenderungan politik selepas menahannya Isnin lalu.

“Mereka tanya saya sama ada tukar mazhab... sama ada saya undi parti itu, ini.

“Mereka tanya pelbagai jenis soalan macam ini untuk buat saya marah, ” kata Sidek kepada Malaysiakini semalam.

Polis pada awal pagi Isnin menyerbu rumahnya susulan tweet yang didakwa berkaitan allahyarham Datuk Dr Haron Din, mursyidul am PAS yang meninggal di Amerika Syarikat pada Hari Malaysia lalu.

Tulisan itu dikatakan menghina Islam.

Sidek berkata polis juga cuba masuk ke bilik anak-anaknya tetapi dilarang oleh isterinya.

'Anak-anak ingat rumah dirompak'

Katanya, insiden itu mengejutkan anak perempuannya yang berusia 14 tahun dan anak lelaki 10 tahun mereka yang menyangka sedang dirompak.

Sementara seorang kawan anak mereka yang tidur di situ pula didakwa menggigil ketakutan.

Sidek berkata dia terus diasak berkaitan fahaman agama apabila dibawa ke sebuah pejabat polis di Jalan Semarak.

Dia berkata digari dan ditempatkan di sel kosong yang hanya berisi tikar sembahyang dan sebotol air.

Bagaimanapun, kata Sidek, keadaannya tidak tenang.

“Saya dalam sel dan mereka terus vakum di depan sel...” katanya sambil menjelaskan ia lebih 30 minit.

Sidek kemudian berkata dia dibawa ke Johor Bahru pada 11.30 pagi dan bergari sepanjang lima jam perjalanan itu.

Pegawai polis bertugas bagaimanapun melayannya dengan baik dan memberikannya makanan pertama hari itu berupa roti kaya ketika mereka berhenti di stesen minyak di Tangkak.

Tiba di Johor Bahru, fahaman agamanya didakwa terus dijadikan isu.

“Seorang pegawai bertugas sangat kasar, dan bersyarah pada saya tentang Islam selama 10 minit, dan saya cuma dengar,” katanya.

Penahannya tamat selepas majistret menolak permohonan polis untuk meremannya pada malam itu dan Sidek dibebaskan selepas kenyataannya dirakam.

Keseluruhan insiden itu hanya berlalu cepat tidak lebih 24 jam tetapi memberi kesan kepada dia dan seluruh anggota keluarganya.

“Kami akan pergi jumpa pakar psikologi pada Khamis (esok) untuk teliti keadaan. Jika ia boleh jadi trauma pada saya, apa lagi anak-anak” katanya.

Katanya, sampai sekarang tidurnya terganggu dan setiap kali pembersih vakum berbunyi akan membuatkannya teringat pada episod itu.

Dia juga enggan mengulas tweet yang dipersoal itu kerana masih dalam siasatan dan enggan menyinggung perasaan sesiapa lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS