Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi tempoh beberapa bulan kepada penduduk Kampung Saujana, Batu 3, Shah Alam untuk membeli rumah pangsa lima tingkat di Bukit Subang.

Penyelaras Penduduk Kampung Saujana, K Ramasamy berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat di antara Datuk Bandar Shah Alam, Ramli Mahmud dengan jawatankuasa penduduk di Shah Alam hari ini.

"MBSA menawarkan rumah yang dibina oleh Guthrie Berhad di Bukit Subang itu dengan harga RM31,000 seunit kepada 40 penduduk Kampung Saujana yang terlibat dengan pembasmian setinggan di kawasan tersebut.

"Datuk Bandar mahu kami mencari sendiri rumah lain jika penduduk menolak tawaran membeli rumah di Bukit Subang dan jika gagal, operasi merobohkan rumah akan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, penduduk belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menerima tawaran untuk membeli rumah di Bukit Subang atau sebaliknya.

Katanya, satu mesyuarat di kalangan penduduk akan diadakan dalam masa yang terdekat ini untuk memutuskan sama ada mereka mahu membeli rumah pangsa itu atau tidak.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian besar penduduk Kampung Saujana membayangkan mereka akan menolak tawaran tersebut kerana kesukaran untuk membuat pinjaman bagi membeli rumah tersebut.

Mahu harga diturunkan

"Sebahagian besar mereka sudah berusia dan pihak bank tentu sukar meluluskan pinjaman perumahan mereka," katanya sambil menambah penduduk ditawarkan untuk membeli rumah di tingkat lima kerana menurut MBSA unit lain sudah penuh.

Ramasamy berkata, penduduk akan mengadakan perbincangan dengan Guthrie supaya rumah terbabit dijual pada harga RM25,000 kerana ia di tingkat lima dan tiada kemudahan lif.

Semalam kira-kira 100 penduduk Kampung Saujana mengadakan demontrasi di depan pejabat Menteri Besar di Shah Alam kerana membantah tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk merobohkan rumah mereka.

Demontrasi tersebut bermula jam 10 pagi dan berakhir 1 tengahari setelah mendapat jaminan dari Exco Perpaduan dan Pekerja Ladang negeri, Datuk Sivalingam Karrupiah bahawa MBSA akan menangguhkan operasi merobohkan rumah tersebut.

Penduduk juga menghantar memorandum kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Datuk Mohd Yusof dan mendakwa penduduk Kampung Saujana bukan setinggan, tetapi sebaliknya ditempatkan semula di kawasan sekarang ini oleh Kerajaan Selangor.

Menurut memorandum itu lagi, pada 4 Disember 1992, kerajaan negeri melalui State Secretary Selangor Incorporation (SSSI) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah menyerahkan kepada Syarikat Cekap Mesra Development Sdn Bhd untuk melaksanakan projek penempatan setinggan.