Paling Popular
Terkini

ULASAN Setiap hari sebanyak tiga juta kenderaan keluar masuk ke Kuala Lumpur. Manakala parkir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjumlah 45,000 petak sahaja.

Ia tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang keluar masuk. DBKL cuba mengambil langkah tidak popular dengan menaikkan caj parkir sebanyak 150 peratus.

Ia mengundang kecaman bukan sahaja penduduk di ibu kota, bahkan seluruh Malaysia. Langkah ini bagaimanapun bukan langkah terkebelakang.

Kebanyakan negara utama di dunia mengambil langkah sama bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. Kenaikan kadar bayaran parkir akan menjadi relevan sekiranya pengangkutan awam benar-benar efisien.

Sebenarnya beberapa siri kenaikan harga minyak (sebelum diapungkan) dan harga pengangkutan awam bertujuan menaik taraf sistem pengangkutan awam yang ada sekarang.

Namun ia masih tidak menampakkan hasil yang positif.

Baru-baru ini pengangkutan awam di ibu negara menjadi bahan jenaka yang menyebabkan pengguna terpaksa berjalan di atas landasan transit aliran ringan (LRT).

Kebetulan pada waktu berkenaan tayangan filem Korea -Train to Busan. Poster filem ini yang memaparkan landasan kereta api diolah dengan situasi yang berlaku di Malaysia.

Bandar transit

Kuala Lumpur sedang menuju ke arah bandar yang berkonsepkan 'transit oriented development'. Namun dalam konteks di Malaysia ia akan mengambil masa untuk perkara ini berhasil.

Projek kereta api MRT yang ada sekarang juga dalam proses untuk mengakses ke seluruh pelosok Lembah Klang yang tidak terjangkau dengan aliran transit sebelum ini.

Mengambil contoh seorang pekerja yang tinggal di sekitar Kerinchi, Kuala Lumpur, mereka hanya perlu berjalan kaki dan akses ke Stesen Universiti atau Stesen Kerinchi untuk ke tempat kerja.

Sekiranya kita bicara seorang pekerja yang perlu bergerak ke beberapa tempat mesyuarat di Kuala Lumpur pada hari yang sama, memang pengangkutan awam agak sukar.

Sedikit masa lalu, ada sebuah kempen yang menggalakkan perkongsian kenderaan ke tempat kerja. Namun kempen ini tidak meluas dan bertahan hanya beberapa ketika.

Pengguna masih mengira kos relatif yang lain termasuk waktu menunggu dan betapa penatnya mereka hendak berjalan ke stesen aliran ringan.

Sekiranya kos itu berbaloi dengan kos hidup seharian, harga minyak dan peningkatan harga barang runcit, pengguna akan memilih pengangkutan awam.

Langkah pertama sebelum menaikkan harga parkir di Kuala Lumpur, DBKL dan agensi kerajaan yang lain harus berbincang bagi menurunkan harga pengangkutan awam.

Untuk rekod tambang LRT dan Monorel meningkat hampir 100 peratus pada 2 Disember 2015.


MOHD HAFIZAN MAZUKI adalah graduan Perancangan Bandar dan Wilayah dan mempunyai sarjana dalam bidang Perumahan. Kini beliau bertugas sebagai pegawai projek kanan dengan Gender Responsive dan Participatory Budgeting, PWDC.

Lihat Komen
ADS