Datuk Sivalingam tiada kuasa tangguh roboh rumah Kg Saujana
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tetap akan merobohkan rumah setinggan Kampung Saujana Indah di Shah Alam selepas Selasa ini sekiranya mereka terus mengengkari arahan supaya berpindah dari situ.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tetap akan merobohkan rumah setinggan Kampung Saujana Indah di Shah Alam selepas Selasa ini sekiranya mereka terus mengengkari arahan supaya berpindah dari situ.
Pegawai Perancang Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Hamzah Tajudin berkata, operasi meroboh rumah penduduk terbabit akan dimulakan apabila tempoh akhir mereka berpindah tamat Selasa depan.
Ketika diminta mengulas jaminan Exco Negeri, Datuk Sivalingam Karuppiah kepada penduduk terbabit ketika mengadakan demonstrasi di depan pejabat Menteri Besar Isnin lalu, yang rumah mereka tidak akan dirobohkan, beliau berkata:
"Orang yang bertanggungjawab terhadap masalah setinggan di negeri itu ialah Exco Negeri, Datuk Ahmad Mokhtar Dahalan.
"MBSA hanya boleh menerima arahan dari Datuk Mokhtar sama ada operasi pembersihan kawasan setinggan itu akan ditangguhkan atau tidak. Kami tidak akan mematuhi arahan orang lain, termasuk Datuk Sivalingam.
"Datuk Mokhtar melalui Datuk Bandar Shah Alam, Ramli Mahmud telah mengarahkan MBSA bertindak ke atas setinggan Kampung Saujana Indah jika mereka tidak berpindah selepas Selasa ini," katanya.
Menurut Hamzah, MBSA, sebagai pihak berkuasa tempatan di Selangor, akan mematuhi arahan Mokhtar supaya rumah setinggan penduduk Kampung Saujana Indah yang enggan berpindah dirobohkan selepas Selasa ini.
"MBSA hanya akan mematuhi arahan Sivalingam jika Ahmad Mokhtar atau Ramli meminta kami berbuat demikian. Bagaimanapun, sehingga hari kami tidak sebarang arahan tersebut," katanya lagi.
Notis pindah tidak bertarikh
Beliau berkata, MBSA telah membatal notis meminta penduduk Kampung Saujana Indah merobohkan rumah mereka selewat-lewatnya Sabtu ini dan notis baru telah dihantar kepada mereka.
Pembatalan tersebut, katanya, dibuat atas arahan Datuk Bandar Shah Alam setelah mengadakan perbincangan dengan pemaju dan wakil penduduk Kampung Saujana, K Ramasamy, di MBSA semalam.
Sementara itu, penduduk Kampung Saujana Indah belum membuat keputusan untuk menerima harga RM31,000 yang ditawarkan oleh pemaju dalam mesyuarat semalam.
Ramasamy berkata, penduduk menuntut harga diturunkan lagi ke tahap RM25,000 kerana kegagalan pemaju membina rumah untuk mereka seperti yang dijanjikan pada Januari 1994.
Jumaat lalu, kakitangan MBSA diiringi beberapa anggota polis menyerahkan notis arahan pemindahan tersebut kepada beberapa penduduk. Mereka turut mengambil gambar penduduk sambil memegang notis tersebut, sebagai bukti penerimaan.
"Apabila diperiksa, notis tersebut tidak pula disertakan tarikh bermulanya penguatkuasaan arahan itu. Kalau dikira dari tarikh serahan selama seminggu, bermakna tarikh itu berakhir Sabtu ini," kata Ramasamy.
Satu salinan notis yang diperolehi oleh malaysiakini menyebut pemilik dikehendaki merobohkan rumah setinggan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh ia penyerahannya.
Jika gagal atau engkar mematuhi notis ini sehingga tarikh masa yang ditetapkan, pihak MBSA boleh mengambil tindakan tanpa sebarang notis selanjutnya, kata notis itu lagi.
Ketika ditanya mengenai ketiadaan tarikh kuatkuasa notis tersebut, Hamzah pada mulanya berkata: "Tidak mungkin surat rasmi MBSA tidak mempunyai tarikh."
Bagaimanapun, selepas dibaca notis yang diperolehi malaysiakini itu, barulah beliau mengakui berlaku kesilapan teknikal kerana tidak mencatatkan tarikh ia ditampal.

