Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anina gugur rayuan saman RM2.6 bilion ke atas Najib

Bekas ahli Umno Langkawi, Anina Saadudin mengugurkan rayuannya di Mahkamah Rayuan berhubung saman RM2.6 bilion ke atas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan setiausaha kerja parti itu supaya dana berkenaan dikembalikan kepada parti.

Peguamnya Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata, penarikan balik rayuan itu berikutan bahawa Anina bukan lagi ahli Umno, dan telah meneruskan perjuangan dengan platform baru melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Justeru, katanya, beliau telah menulis kepada Mahkamah Rayuan pada Khamis, 22 September lalu, supaya rayuan itu ditarik balik.

"Susulan itu, kes berkenaan telah dikeluarkan dari senarai kes-kes di Mahkamah Rayuan hari ini," kata Haniff kepada Malaysiakini.

Berikutan itu, Anina diarah membayar kos RM5000.

Anina, bulan lalu mengumumkan bahawa beliau menarik balik semua saman yang difailkan terhadap Umno sejak menyertai BERSATU.

Beliau adalah ahli jawatankuasa parti serpihan Umno itu.

Disember lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab memutuskan bahawa Anina tidak mempunyai locus standii untuk membawa tindakan sivil kerana beliau bukan seorang pegawai awam atau pemegang jawatan dalam parti itu seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966.

Mohd Zaki yang kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai hakim penuh berkata Anina perlu terus menjadi ahli parti untuk mengambil tindakan derivatif kerana beliau hilang keahliannya apabila memfailkan tindakan berkenaan, maka beliau tidak lagi mempunyai asas.

Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada 28 Ogos tahun lalu, di mana beliau memohon wang berkenaan atau bakinya dikembalikan kepada parti.

Lihat Komen
ADS