Paling Popular
Terkini
story images
story images

Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menghormati tugas Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay selaku pegawai kerajaan yang bertindak menjaga kepentingan serta keselamatan negara.

Bagaimanapun, Mohd Asri berkata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas Cawangan Khas Bukit Aman itu tidak bertindak atas dasar akademik.

"Saya hormati dia sebagai (pegawai) pasukan kelamatan polis tapi akademik ini mungkin bukan bidang beliau. Sama ada beliau tahu atau tidak, fatwa Ibn Taimiyyah ini bukan digunakan oleh orang awam di negara ini," kata Asri.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai saranan Ayob agar pihak berkuasa agama memantau ahli akademik dan agamawan yang kerap menggunakan petikan atau fatwa daripada ulama kontroversi itu.

Ayob sebelum ini dilapor berkata siasatan polis mendapati kumpulan pengganas seperti IS menyelewengkan fakta ulama itu untuk menghalalkan tindakan militan mereka.

Justeru, Asri berkata tindakan pihak berkuasa yang fokus terhadap memantau atau mengharamkan fatwa Ibnu Taimiyyah semata-mata dilihat sebagai kurang tepat dalam menentang dakyah IS.

Asri sebaliknya berkata kumpulan militan itu bukan sekadar menyeleweng fatwa Ibnu Taimiyyah, malah al-Quran, hadis serta pandangan ulama lain.

"Kita nak perangi Ibnu Taimiyyah atau pengganas kerana perkara ini seolah-olah isu ulama itu. Daesh turut seleweng al-Quran, jadi adakah kita perlu pantau semua orang yang menggunakan al-Quran.

"Mengharamkan fatwa Ibnu Taimiyyah juga tidak praktikal kerana ia banyak digunakan dalam negara ini, antaranya dalam Indeks Syariah Malaysia dikeluarkan JAKIM baru-baru ini, selain dalam perkara lain seperti perbankan," katanya.

Asri yang dilihat cenderung mempertahankan agamawan itu menegaskan fatwa Ibnu Tamiyyah diseleweng banyak pihak sedia ada.

"Yang salah bukan Ibnu Taimiyyah tetapi mereka yang menyeleweng dengan menggunakan fatwa di luar konteks. Pihak berkuasa tidak boleh bersikap sektarian dalam isu keselamatan," kata Asri.

Asri berkata demikian pada sidang media Wacana Fikrah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ibnu Taimiyyah: Perjuangan dan Pemikirannya Memurnikan Islam di Menara DBP di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar.

Sehubungan itu, Asri berkata pihaknya kini akan mengaturkan pertemuan dengan Ayob Khan dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan berhubung perkara dibangkitkan beliau.

Terdahulu Asri memperjelaskan ketokohan Ibnu Tamiyyah yang sejak mutakhir ini menjadi viral serta perjuangan dan pemikirannya dalam memurnikan Islam.

Ayob ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas kenyataan Asri itu.

Lihat Komen
ADS