Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mufti: Pemimpin adil lebih penting dari fasih Inggeris
Diterbitkan:  Sep 28, 2016 12:33 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Perbicangan awam perlu memberi tumpuan kepada menyeru pemimpin yang adil, bukannya penguasaan bahasa Inggeris mereka, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Beliau berkata, walaupun bahasa Inggeris penting di peringkat antarabangsa, namun penguasaan bahasa Melayu adalah rukun untuk menjadi seorang pemimpin di negara ini.

"Negara ini memerlukan pemimpin yang adil. Itu lebih utama daripada membincangkan tentang seorang pemimpin yang fasih. Walaupun kefasihan itu ada kelebihannya, namun keadilan adalah rukun kepimpinan.

"Mari kita tumpukan perbahasan dalam perkara asas bukan pinggiran," kata Asri dalam catatan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian selepas timbalan perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi menerima ejekan kerana dikatakan kurang mahir berbahasa Inggeris ketika menyampaikan ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lepas.

Asri berkata khalifah Islam ketiga Uthman bin Affan tidak menyampaikan ucapannya dengan baik ketika dilantik sebagai khalifah.

"Beliau gugup dan tidak dapat memberikan ucapan yang hebat. Ia mungkin juga atas faktor dirinya yang merupakan seorang yang pemalu. Namun, beliau sempat mengungkapkan satu ungkapan yang bermakna untuk kita semua renungi.

"Kata Saidina Uthman bin Affan: Sesungguhnya kamu memerlukan seorang pemimpin yang adil lebih utama dari seorang pemidato yang fasih," kata Asri.

Asri berkata, adalah lebih memalukan jika seseorang pemimpin Malaysia tidak mahir dalam bahasa kebangsaan.

"Malu jika kita mendengar ucapan pemimpin utama Singapura dalam bahasa Melayu. Sangat tersusun dan teratur.

"Malangnya, ramai pemimpin politik di Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu. Ironinya, tidak pula kita mengkritik bersungguh-sungguh," katanya.

Buat pillihan lebih sukar

Semalam, anggota jawatankuasa pro-tem BERSATU Syed Saddiq Abdul Rahman mempertikai usaha memperlekeh ucapan Zahid di PBB, namun mencadangkannya supaya mengikuti kelas bahasa Inggeris.

Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad pula mempersoalkan mengapa Zahid tidak memilih untuk berucap menggunakan bahasa Melayu memandangkan PBB menyediakan khidmat penterjemahan.

Zahid bagaimanapun dipertahankan oleh Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) The Star Wong Chun Wai, yang menyatakan timbalan perdana itu membuat pilihan sukar tidak seperti mana-mana ahli politik lain kerana tidak bersekolah di sekolah Inggeris.

"Beliau boleh dengan mudah guna Bahasa Melayu, memainkan sikap kebangsaan dan dakwa beliau adalah pemimpin pertama Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan di PBB.

"Beliau malah boleh memetik ayat-ayat al-Quran kerana kelayakan agamanya. Lagipun, mesej tersebut ditujukan untuk rakyat Malaysia.

"Tetapi beliau memilih bahasa Inggeris - pilihan yang lebih sukar. Beliau telah diejek tetapi tidak menyerah kalah. Latihan akan jadikannya sempurna dan dari sekarang beliau harus cuba menyampaikan seberapa banyak ucapan yang boleh dalam bahasa Inggeris," tulis Wong dalam kolumnya hari ini .

Lihat Komen
ADS