Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pendedahan balas pada S'wak Report? Palsu, kata editor
Diterbitkan:  Sep 28, 2016 3:35 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Susulan serangan berterusan Sarawak Report dalam isu 1MDB, pengarang laman pembocor maklumat yang berpangkalan di London itu Clare Rewcastle Brown mengundang rasa tidak senang kerajaan Malaysia.

Pemimpin-pemimpin kerajaan menuduh beliau berkomplot dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, manakala polis pula mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Terbaharu, sumber yang mempunyai kaitan dengan kerajaan berkongsi rakaman skrin e-mel yang dikatakan menunjukkan Sarawak Report menerima arahan tugas dan makluman berkaitan kaedah pembayaran.

Rewcastle Brown bagaimanapun mendakwa e-mel itu dipalsukan.

“Palsu sama sekali.

"Saya tidak pernah berhubung dengan orang itu,” katanya sambil berkata alamat e-mel itu juga direka.

Rewcastle Brown juga membangkitkan penggunaan bahasa Inggeris dalam e-mel itu yang dikatakan dikarang oleh beliau.

Berdasarkan rakaman skrin yang dikongsi dengan Malaysiakini itu, e-mel bertarikh 23 Februari 2015 itu dihantar individu bernama "Mohd Apandi" kepada "Christian Angelo".

Tulisan dalamnya merujuk "Christian Angelo" sebagai "Claire". Ia turut mengucapkan terima kasihnya susulan perbualan telefon mereka sebelum itu.

'Fasa 2, bos besar OK'

Ia antaranya berbunyi (dalam bahasa Inggeris):

“Tajuk sensitif. Sudah dapat lampu hijau untuk fasa 2. tolong nyatakan kosnya dalam ringgit Malaysia. Akaun pihak ketiga. Sarawak Report mesti ketengah 1MDB dan fokus pada Najib. Bos besar OK dengan cadangan kamu.”

"Christian Angelo" kemudian menjawab beliau tidak selesa berbual perkara itu dalam telefon dan mahu bertemu secara bersemuka di London.

“Bagaimanapun saya OK kalau kamu semua OK,” e-mel itu dipetik.

Dalam emel yang lain, "Christian Angelo" berterima kasih untuk pengesahan pembayaran.

Dia juga menyebut bayaran sekali gus dan bayaran bulan untuk Sarawak Report bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun telah dipersetujui, “dengan atau tampa Najib sebagai nombor 1”.

Ia diikuti jawapan bahawa maklumat akan dibuat selepas wang diterima.

Sarawak Report mengetengahkan kontroversi 1MDB seawal Februari tahun lepas.

Pada Ogos lalu, polis Malaysia mengeluarkan waran tangkap pada Clare dan meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol), tetapi ditolak.

Julai lalu, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengumumkan rampasan aset yang dikatakan diterima melalui salah guna dana 1MDB.

Butiran lanjut dalam dokumen 136 halaman untuk rampasan itu turut menggunakan laporan-laporan daripada Sarawak Report tahun lalu.

DOJ percaya sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion (RM14.49 bilion) telah dicuri daripada rakyat Malaysia.

Najib menafikan menyalah guna dana awam untuk tujuan peribadi sementara Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga membersihkan beliau daripada sebarang salah laku.

Dalam sidang wartawan-wartawan di Nepal minggu lalu, Rewcastle Brown menafikan Sarawak Report ditaja oleh kad kredit pihak tidak diketahui, seperti didakwa sebuah laman kewartawanan penyiasatan atas talian baru, Open Source Investigations (OSI).

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS