Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ali Tinju jamin tiada 'senaman punggung' untuk Maria jika...

Pemimpin Gerakan Merah Mohd Ali Baharom - atau lebih dikenali dengan nama Ali Tinju - berjanji tidak akan melakukan senaman punggung di luar rumah Maria Chin Abdullah jika pemimpin pertubuhan bukan kerajaan itu hadir dalam forum 13 November ini.

Bercakap kepada Malaysiakini Mohd Ali berkata pada tarikh berkenaan dia menganjurkan majlis mengenai demonstrasi jalanan.

Kata Mohd Ali jika Maria setuju menghadiri forum bertajuk Himpunan Jalanan dan Masa Depan Negara itu tiada lagi gangguan akan dibuat terhadapnya.

"Saya janji kepada Maria Chin, kalau dia hadiri forum hal ehwal semasa bertajuk Himpunan Jalanan dan Masa Depan Negara, saya - Ali Tinju - tak akan buat apa apa," katanya.

Sebaliknya jika Maria gagal hadir pada majlis itu, Mohd Ali berkata kumpulannya akan "berjumpa" dengan pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) "di mana-mana saja" di himpunan pada 19 November ini.

Bagaimanapun Mohd Ali segera menjelaskan kenyataannya itu bukan ugutan, tetapi sekadar "cakap-cakap politik".

Semalam Mohd Ali menghantar jemputan kepada media untuk membuat liputan forum berkenaan. Panel yang dijemput ialah peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar.

Semakan Malaysiakini bagaimanapun mendapati tiada seorang pun ahli panel disenaraikan itu mendapat jemputan ke forum berkenaan.

Mohd Ali sebelum ini berkata dia dan pengikutnya akan mengadakan senanam punggung kedua di luar rumah Maria selepas perhimpunan BERSIH 5 diumumkan baru-baru ini.

Dia pernah melakukan senaman sama di luar rumah Ambiga ketika bekas presiden Majlis Peguam itu menjadi pengerusi BERSIH 2.0.

Himpunan BERSIH 5 diadakan di Kuala Lumpur antara lain untuk menuntut kerajaan mengadakan pilihan raya yang bersih dan adil, mengukuhkan demokrasi berparlimen.

Mohd Ali juga berkata dia berharap tiada protes jalanan - sama ada oleh kumpulan baju kuning atau merah - dilakukan lagi.

Kuning merujuk kepada penyokong BERSIH manakala baju merah adalah kumpulan prokerajaan.

Mohd Ali kemudian mencabar Maria untuk bertanding dalam pilihan raya jika aktivis itu berasa dia hebat.

"Kalau Maria Chin rasa dia hebat, kalau saya rasa saya hebat, pilihan raya umum ke-14 ni, kita bertanding di Bandar Tun Razak," katanya.

Kawasan itu dipilih, kata Mohd Ali, kerana mempunyai jumlah pengundi yang seimbang antara Melayu dan Cina.

Kerusi Bandar Tun Razak kini diwakili bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS