Malaysiakini BERITA

Enam kanak-kanak positif Rotavirus di P Pinang

Bernama

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang hari ini mengesahkan enam kes positif jangkitan Rotavirus membabitkan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr M. Sukumar berkata kesemua kanak-kanak yang dilaporkan positif virus tersebut adalah di antara umur satu hingga lapan tahun.

"Tiga kes telah dilaporkan di Hospital Bukit Mertajam, dua kes di Hospital
Balik Pulau dan satu kes di Hospital swasta dari tarikh 27 hingga 30 September," katanya ketika dihubungi di George Town hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa dimasukkan ke hospital selepas mempunyai simptom seperti muntah-muntah dan cirit-birit.

Namun, Sukumar yang sedang berada di luar negeri berkata kesemua mangsa kini dalam keadaan stabil dan sedang dirawat oleh doktor.

Rotavirus adalah sejenis virus yang menyebabkan jangkitan perut dan usus dan sering menyerang kanak-kanak terutamanya yang berumur lima tahun ke bawah dengan gejala seperti cirit-birit, muntah, demam dan sakit perut.

-Bernama