'Had dua penggal jawatan PM sesuatu yang mungkin'
Berterusan mendesak pelaksanaan had dua penggal untuk jawatan Perdana Menteri di negara ini, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengakui ia boleh dilakukan menerusi konvensyen atau pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya merujuk kepada model Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) dalam mengutarakan cadangan sedemikian.
Presiden AS yang paling lama berkhidmat, Franklin Delano Roosevelt walaupun diperakukan cekap dalam menjalankan tugasnya telah menjawat jawatan nombor satu itu terlalu lama, kata Salahuddin.
Roosevelt merupakan satu-satunya presiden AS yang terpilih untuk tempoh selama empat penggal.
"Di AS, mereka mengehadkan tempoh tersebut dengan meminda perlembagaan manakala di UK pula menerusi konvensyen.
"Mungkin, selepas kejatuhan Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya umum akan datang, jika semua anggota Parlimen boleh bersetuju, kita pinda perlembagaan dengan majoriti dua pertiga," ujar Salahuddin semasa sidang media di ibu pejabat AMANAH di Kuala Lumpur, hari ini.
Dan jika itu tidak mungkin, jelasnya, ia boleh dilakukan seperti di UK iaitu menerusi konvensyen.
"Sebagai contoh, ia tidak menyatakan bahawa perdana menteri dan timbalan perdana menteri mestilah Melayu dan Islam, tetapi ia menjadi sedemikian menerusi konvensyen," tambahnya.
Dalam pada itu, AMANAH dan BERSATU akan mengadakan pertemuan dengan beberapa tokoh - dari negarawan hinggalah ahli akademik dan pakar undang-undang - untuk mendapatkan sokongan mereka dalam hal ini.
"Kami akan memberitahu mereka tentang objektif mengenai isu ini. Jika kita berjaya mendapatkan sokongan, kami akan mencadangkan idea ini diguna pakai pada seminar peringkat kebangsaan," ujar Salahuddin lagi.
Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, idea itu terpacul kerana sebelum ini negara tidak pernah mempunyai seorang perdana enteri yang begitu cenderong menyalahgunakan kuasanya dengan berpegang kepada kedudukannya.
"Antara sebab mengapa kita mencadangkan tempoh perdana menteri dihadkan supaya penyalahgunaan kuasa tidak akan diteruskan.
"Ia bertujuan seorang perdana menteri tidak akan menyalahgunakan kuasanya setelah tahu dalam masa 10 tahun lagi, beliau perlu meletak jawatan."
Mukhriz berkata, syarat-syarat tertentu boleh dipertimbangkan untuk melanjutkan jangka - misalnya, jika perdana menteri 'terlalu popular'.
Bagaimanapun, Salahuddin menegaskan, walaupun pemimpin melaksanakan pekerjaan dengan baik, tempoh mesti terhad kepada dua penggal sahaja.

