Rumah dirempuh kereta, warga emas maut ketika sedang tidur
Seorang lelaki yang sedang tidur di ruang tamu rumahnya, maut apabila sebuah pacuan empat roda merempuh kediaman lelaki itu di Permatang Pasir di Butterworth malam tadi.
Ketika kejadian pada jam 10.45 malam itu, Mat Rasid Mat Sharif, 67, tidur di sofa di ruang tamu tingkat bawah, rumah dua tingkat itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata rempuhan kereta jenis Suzuki yang dipercayai dipandu laju itu menyebabkan dinding batu bahagian bawah rumah berkenaan runtuh dan menghempap lelaki yang sedang tidur tersebut.
"Kereta dipandu lelaki berusia 53 tahun itu dilapor melanggar sebuah kereta lain sebelum merempuh rumah berkenaan," katanya hari ini.
Beliau berkata Mat Rasid yang masih bujang itu tinggal dengan beberapa anggota keluarganya di rumah berkenaan.
Mayat Mat Rasid dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan polis telah mengambil keterangan serta sampel darah pemandu kereta terbabit bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Rosnah Din, 54, anak saudara Mat Rasid berkata sebelum ini rumah separa batu itu berhampiran selekoh di tepi laluan utama Jalan Pamatang Pasir di Butterworth pernah dirempuh kenderaan.
Sejak itu Mat Rasid sentiasa merasa bimbang dengan kelajuan kenderaan yang melalui selekoh tersebut, yang mungkin boleh menyebakan sesuatu yang tidak diingini menimpa dirinya.
Kebimbangannya itu akhirnya menjadi kenyataan apabila sebuah pacuan empat roda merempuh rumahnya buat kali kedua malam tadi yang kali ini menyebabkan beliau terkorban.
"Pada kejadian pertama beliau terselamat, kerana berada di luar rumah. Tapi dalam kejadian 10.45 malam tadi, dia sedang tidur di atas sofa.
"Dia dihempap dinding batu yang runtuh akibat rempuhan kereta tersebut," kata anak saudaranya Rosnah Din, 54, kepada Bernama.
Beliau ditemui di Tanah Perkuburan Masjid Permatang Pasir di mana Mat Rasid dikebumikan.
Rosnah yang tinggal di Kulim, Kedah berkata beliau bergegas ke rumah bapa saudaranya itu selepas mendapat tahu mengenai kejadian tersebut dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu kenderaan terbabit.
"Saya diberitahu sebaik kejadian, sepupu saya yang tinggal di sebelah rumah arwah meluru masuk ke dalam rumah arwah untuk melihat keadaannya. Arwah didapati cedera parah dan sudah meninggal dunia," katanya.
Kamariah, 68, iaitu kakak Mat Rasid, berkata adiknya itu seorang yang mahir membuat rumah.
"Kereta itu telah menghimpitnya hingga ke dinding," katanya.
- Bernama

